Kita boleh menang di mana-mana - Presiden PAS

HARAKAHDAILY | FOTO KHAIRUL AZLAM | .

MARANG: Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengulangi pendirian bahawa PAS tidak merebut kuasa sebaliknya mahu Islam ditegakkan.

Presiden PAS itu menegaskan demikian ketika berucap merasmikan Himpunan Harapan Semua (Harap) 3.3 di Kampung Padang Mengkuang, malam tadi.

"PAS tak rebut kuasa, kita hanya mahu orang ikut Islam. Kita nak Islam ditegakkan," ujarnya pada program anjuran PAS Negeri Terengganu itu.

Turut berucap ialah AJK PAS Pusat yang juga Exco Kerajaan Kelantan, Datuk Nassuruddin Daud, Pesuruhaya PAS negeri, Ustaz Saiful Bahri Mamat, Pengarah Harap 3.3, Kamaruzaman Abdullah dan Yang Dipertua PAS Kawasan Marang, Yahaya Ali.

Majlis perasmian dimeriahkan dengan persembahan tarian singa.

Begitupun, Tuan Guru Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang mengingatkan agar Islam tidak dipermain-mainkan.

"Tapi ingat, jangan permain-mainkan Islam. Kita akan hambat hingga ke lubang cacing," tegasnya.

Beliau turut melahirkan keyakinan PAS mempunyai peluang yang cerah di negeri ini pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nanti.

"Harapan kita di Terengganu adalah cerah. Sejarah, kita pernah menang di Terengganu.

"Kita boleh menang di mana-mana dengan izin Allah," ujarnya lagi.

Pada majlis itu, beliau turut menerima 5,030 borang permohonan keahlian PAS daripada masyarakat di negeri ini yang diusahakan dalam tempoh dua minggu.

Sebelum ini, Harap 3.1 diadakan di Dun Seberang Takir, Kuala Nerus pada 29 hingga 31 Januari 2015 sementara Harap 3.2 di Dun Rantau Abang, Dungun pada 17 hingga 19 September 2015. - HARAKAHDAILY 27/2/2016

Share on Myspace