Taman Asuhan Tunas Islam impian besar Muslimat PAS

MASYITAH IZZATI | .

JERAI: Lajnah Pembangunan Keluarga Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPP) semakin rancak mengatur strategi melunaskan impian besar membina Taman Asuhan Tunas Islam (Tasti).

Pengerusinya, Datuk Ustazah Siti Ashah Ghazali ketika ditemui memaklumkan kursus itu melibatkan calon-calon pengasuh dan wakil Dewan Muslimat PAS kawasan sekitar negeri Kedah.

Katanya, peserta diberi penerangan tentang elemen utama pendidikan yang diterapkan dalam silibus diguna pakai Tasti.

Tasti menjadikan terapi asmaul husna sebagai kaedah memperkenal anak asuhan dengan makrifatullah.

"Maka, usia 'emas' anak-anak sepenuhnya akan dibajai dengan kebergantungan pada Allah," kata ketika merasmikan Program Kursus Asas Tasti (Siri 1) di Markas PAS Kawasan Jerai di sini, hari ini.

Menurut beliau, DMPP cuma merujuk semula kepada apa yang telah digariskan Islam dalam proses pembinaan insan dan menyelaraskan dengan matlamat perjuangan PAS membangunkan ummah  kembali kepada agama Allah.

DMPP juga, ujarnya optimis Tasti mampu berjaya sebagaimana institusi pendidikan yang telah wujud dalam PAS seperti Pasti, SRITI dan SMITI.

Jelasnya lagi, Tasti hadir untuk melengkapkan rangkaian sistem pendidikan yang ditawarkan PAS.

Selain itu, beliau menyatakan Kedah beruntung dipilih sebagai tapak untuk projek rintis Tasti DMPP dan dengan izin Allah telah menerima infak daripada individu berhati mulia, sebuah rumah banglo baru siap dibina bertempat di Jitra.

Jika tiada sebarang halangan, tambahnya Tasti pertama akan mula beroperasi sekitar bulan Mei nanti.

Peserta yang hadir juga kelihatan bersemangat dan sangat teruja untuk melaksanakan projek Tasti di kawasan masing-masing.

Tasti  bakal menempatkan bayi berusia 2 bulan hingga 3 tahun, dibangunkan sebagai sistem sokongan utama untuk ibu bapa bekerjaya memastikan cahaya mata mereka mendapat pendidikan awal kanak-kanak berteraskan Islam sebelum diasuh di peringkat pra sekolah.

Sementara itu, Ketua DMPP, Ustazah Nuridah Mohd Salleh yang turut hadir menyempurnakan majlis penutup dilihat begitu komited untuk memastikan Tasti perintis dapat beroperasi secepat mungkin.

Menurut beliau, agenda mewujudkan pusat jagaan kanak-kanak ini merupakan usul yang dipersetujui sebulat suara oleh para perwakilan semasa Muktamar Dewan Muslimat PAS Malaysia pada 2008.

"Mungkin kelemahan kita, mengambil masa yang panjang untuk melaksanakan usul penting ini," katanya.

"Tapi, kita yakin Tasti akan jadi nyata sedikit waktu lagi dengan izin Allah," ujarnya. - HARAKAHDAILY 27/2/2016

Share on Myspace