Ayah berpesan jangan lupa masjid - Ijam Medicine

BULETIN ONLINE | .

MARANG: Bekas penyanyi kumpulan rock Medicine, Norhizam Shair atau lebih dikenali sebagai Ijam Medicine memalingkan dirinya dari ‘dunia artis’ setelah didoakan oleh ibunya selama 20 tahun.

Beliau berkata, tempoh masa enam bulan, selepas gagal memasuki pondok kerana lewat mendaftar adalah titik mula beliau lari dari landasan tarbiah yang ditetapkan oleh ibu dan ayahnya.

“Apabila sepatutnya saya masuk pondok, tetapi tak dapat masuk mendaftar kerana lambat, itulah ketikanya saya.

“Apabila saya mula bekerja di luar sana, maka mulalah saya terlibat dengan dunia (seni),” jelasnya.

Ketika menjadi ahli panel Forum Perdana sempena Harap 3.3 di Padang Mengkuang dekat sini, beliau mengakui penyesalannya apabila ibunya menitiskan air mata, mendapat tahu beliau terlibat dengan kumpulan ‘rock’ Medicine.

“Emak saya menangis tak henti-henti sehingga bapa saya suruh saya minta maaf dan beliau berkata, berapa besar dosa yang saya tanggung kerana menitiskan air mata emak saya.

“Emak saya mendoakan saya tidak henti-henti, sehingga tempoh selama 20 tahun, akhirnya Allah memberi hidayah kepada saya,” kata Ijam.

Katanya, atas doa emak itulah yang menjadi beliau tidak ‘tersesat’ jauh, dan kembali semula ke pangkal jalan.

Namun begitu, kata beliau, penglibatan secara serius dalam ‘jalan dakwah’ hanyalah bermula selepas bapanya meninggal dunia.

“Sebelum ayah meninggal dunia, ayah berpesan, jangan lupa masjid, sejak itu saya terus berjalan, pergi ke masjid, mendekati masjid.

“Di sanalah, saya jumpa beberapa ustaz yang menjadi rujukan saya, termasuk Ustaz Riduan Mohd Nor,” katanya.

Share on Myspace