Sekat media: Kerajaan pilih tindakan membakar diri

HARAKAHDAILY | .

Wall Street Journal (WSJ menyatakan bahawa duit derma RM2.6 billion adalah dari 1MDB, Datuk Seri Najib Razak bersama Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali hanya diam membisu.

Para menteri kabinet diketuai Menteri Komunikasi dan Multimedia, Salleh Keruak sekadar mempersoalkan sikap kewartawanan dan membelasah WSJ.

Namun WSJ tidak disekat walaupun satu dunia ‘terkeliru’ dengan skandal derma RM2.6 bilion Datuk Seri Najib Razak yang menjejaskan nama negara.

Mengapa pula kerajaan mengambil sikap berbeza terhadap media tempatan?

Kalau tak setuju, belasahlah media itu melalui media-media yang dikawal kerajaan. Ajaklah rakyat pulaukan media itu, atau minta pihak berkenaan yang tidak puas hati untuk saman.

Tapi, kerajaan akhirnya memilih cara yang paling membakar diri iaitu dengan menyekat media.

Keputusan tidak konsisten dan sekata ini mencerminkan salah guna kuasa dan kekalutan yang amat sangat dari pihak kerajaan.

Menyekat akses kepada mana-mana media hanya melonjakkan nama media yang disekat dan membenamkan lagi kredibiliti kerajaan terutamanya kerajaan yang mempunyai skandal yang tidak terjawab seperti Malaysia.

Cukup-cukuplah bertindak memperbodohkan rakyat lagi kerana ingin mempertahankan yang silap dan apa yang sudah tidak boleh ditutup. Mana kertas boleh balut api?

Kebebasan media perlu dipertahan dan pada masa yang sama media diharap terus menjaga etika kewartawanannya dan kesahihan beritanya sebelum disiarkan untuk tatapan ramai.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
27 Februari 2016 - HARAKAHDAILY 27/2/2016

Share on Myspace