Sektor 3D: Takkanlah sampai 1.5 juta pekerja Bangladesh

NYZA AYOB | .

PADA 19 Februari lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan kerajaan menangguhkan semua pekerja asing baharu termasuk dari Bangladesh setelah pelbagai pihak membantah tindakan kerajaan itu. Ramai berpendapat, tindakan kerajaan itu hanyalah 'penangguhan' yang tidak memberikan sebarang makna memandangkan Memorandum Persefahaman untuk menerima 1.5 juta pekerja Bangladesh di bawah mekanisme kerajaan dengan kerajaan (G-to-G Plus) secara berperingkat untuk tempoh tiga tahun telah ditandatangan di Dhaka antara kedua-dua negara pada 17 Februari. Petikan pandangan Ahli Parlimen Rantau Panjang, Ustazah Siti Zailah Mohd Yusof mengenai perkara itu.

HARAKAH: Kerajaan mengumumkan menangguhkan kemasukan pekerja asing, namun apa yang berlaku, di pintu masuk utama negara masih dibanjiri dengan warga asing. Apakah penangguhan itu hanya sekadar untuk mengambil hati rakyat setelah pelbagai pihak termasuk orang awam sendiri membantah keputusan kerajaan sebelum ini?

USTAZAH SITI ZAILAH MOHD YUSOF: Kita melihat tindakan kerajaan ini menampakkan ketidakmatangan pengurusan negara apabila sesuatu dasar baharu yang diperkenalkan tidak dilumatkan perbincangan dan diambilkira pro dan kontra keputusan tersebut kepada negara. Kita tidak nafikan keperluan mereka kepada pasaran pekerjaan terutama bagi sektor 3D (dangerous, dirty, difficult). Tetapi takkanlah sampai 1.5 juta.

Sepatutnya kajian menyeluruh dibuat agar hasil yang diterima nanti memuaskan hati dengan mengambil kira tenaga keperluan tempatan. Masih ramai anak-anak muda yang menganggur. Apabila kerajaan sebut penangguhan, bermakna belum ada pembatalan dan ia akan diteruskan. Tetapi laporan yang kita terima sekarang di pintu-pintu masuk utama, berduyun-duyun pekerja asing masuk ke negara kita. Jadi di sini, di manakah dikatakan penangguhan?

Sebab itu, kita minta penjelasan kerajaan kerana ia memberi kesan jangka panjang kepada masa depan negara. Kita akan lihat negara akan dikelilingi pekerja asing dengan jumlah yang begitu banyak. Dasar ini juga menampakkan kerajaan tidak konsisten dengan keputusan yang dibuat (flip-flop).

Ini juga membawa kesan kredibiliti Malaysia di mata dunia. Ia termasuk hubungan Malaysia dengan negara asing. Negara luar akan nampak kelemahan pentadbiran kepimpinan yang ada hari ini. Kita mengharapkan dalam isu pendatang asing ini kerajaan mengambil kira keperluan sebenar pekerja asing ini dengan hampir tujuh juta pekerja asing yang sudah sedia ada di negara ini.  

Akhirnya ia akan memberi kesan kepada ekonomi sebab pendatang asing datang ke negara kita dan menghantar wang pulang ke negara mereka. Perkara ini akan memberi kesan kepada ekonomi kepada negara kita apabila berlaku aliran keluar wang. Makananya ia memberi kesan secara tidak langsung.

Kebanjiran pendatang asing ini banyak kesannya terutama kesan jenayah. Bukan itu sahaja, ia mendatangkan masalah sosial. Bahkan mereka juga mendapat subsidi barang-barang. Apabila dijual di pasaran terbuka, yang membelinya warga asing. Jadi, subsidi yang patut diberi kepada rakyat tempatan tetapi dimanfaatkan oleh orang luar. Jadi, tidak sampai sasaran untuk membantu rakyat. Sepatutnya sasarannya untuk membantu rakyat. Begitu juga Kedai Rakyat 1 Malaysia (KR1M), sesiapa sahaja boleh pergi ke kedai ini.

Kebanyakan ekonomi rakyat ini digunakan untuk warga asing yang ada di negara kita. Ini menyebabkan berlaku kekurangan barangan dan terpaksa import lebih banyak. Sebab itu kita menyeru kerajaan mengkaji balik dasar yang telah ditetapkan untuk membawa masuk 1.5 juta. Sepatutnya kerajaan membatalkannya dan jangan tangguh. Itu tidak memberi keuntungan kepada negara.

Memorandum Persefahaman (MoU) telah pun ditandatangan. Bolehkan ia ditangguhkan sebegitu mudah?

Itu yang kita persoalkan. Apabila Datuk Seri Zahid Hamidi umum hendak tangguh, bagaimana MoU dengan kerajaan Bangladesh? Kita pun tidak tahu apakah kandungan MoU itu. Kalau hendak tangguh, berapa lama hendak tangguh? Apa yang kita bimbang, perkara ini ditangguh bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.
Antara soalan lain yang ditanya ialah kalangan Ahli Parlimen PAS kerap kali membangkitkan isu kebanjiran pekerja asing di Dewan Rakyat, adakah kerajaan sebenarnya berselindung di sebalik angka jumlah sebenar pendatang asing, mungkinkah juga ada konspirasi bagi membolehkan warga asing mengundi dalam pihan raya. - HARAKAHDAILY 27/2/2016

IKUTI TEMU BUAL PENUH DALAM AKHBAR HARAKAH BIL 2126 EDISI ISNIN DI PASARAN.

Share on Myspace