Tingkat usaha pasarkan produk muslim - Munif Hijjaz

HARAKAHDAILY | .

MARANG: Usaha untuk mempertingkatkan pemasaran produk umat Islam wajar mendapat sokongan semua pihak, kata Munif Hijjaz.

Justeru, beliau menyambut baik Karnival Usahawan dan Ekspo Harap yang diadakan sempena Himpunan Harapan Semua (Harap) 3.3 di Kampung Padang Mengkuang bermula Rabu lalu yang berakhir malam tadi. Karnival itu dirasmikan oleh Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor, Shafie Ngah.

Katanya, melalui program seperti itu, pengusaha muslim bukan sahaja dapat memperkenal dan menjual produk mereka sebaliknya memberi peluang kepada para pengunjung untuk mendapatkan barangan tersebut.

"Saya mengalu-alukan karnival atau ekspo seperti ini khususnya melibatkan usahawan Melayu Islam.

"Dengan ada program seperti ini, orang Islam boleh membantu untuk mengembangkan produk usahawan muslim," ujarnya yang turut membuat persembahan sempena program itu.

Bagaimanapun, katanya para pengguna menghadapi masalah untuk mendapatkan produk usahawan muslim itu kerana tidak banyak terdapat di pasaran.

Tambahnya, ini kerana rangkaian pemasaran produk pengusaha muslim masih tidak meluas.

"Banyak produk boleh didapati melalui karnival seperti ini tetapi bila nak cari selepas karnival, jarang dapat diperolehi produk berkenaan," katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau menggesa phak berkenaan supaya mewujudkan lebih banyak rangkaian untuk memasarkan produk-produk usahawan muslim sebagaimana barangan keluaran bukan muslim.

Menurutnya, walaupun sekarang sudah wujud tempat-tempat jualan produk berkenaan tetapi masih tidak mencukupi untuk memudahkan para pengguna mendapatkannya. - HARAKAHDAILY 28/2/2016

Share on Myspace