Sejarah: Adun PMS46 Tendong masuk PAS

HARAKAHDAILY | .

ADUN PMS46 TENDONG MASUK PAS  (28 FEBRUARI 1998)

PADA hari ini dalam tahun 1998, Adun Parti Melayu Semangat 46 (PMS46) kawasan Tendong, Cikgu Hussein Ahmad telah mengumumkan penyertaan beliau ke dalam PAS setelah partinya dibubarkan dan pimpinan utamanya menyertai semula Umno pada 8 Oktober 1996.

Krisis hubungan PAS-PMS46 yang tercetus selepas Pilihan Raya Umum 1995 telah memecahkan kerjasama PAS-APU apabila pemimpin PMS46 Kelantan berterusan menyerang Kerajaan Negeri sehingga tiga Adunnya menyatakan keinginan menyertai PAS.

Tiga wakil rakyat tersebut ialah anggota Exco, Kapten (B) Mohd Noor Ahmad (Pulai Chondong), Cikgu Haji Nordin Yaakub (Kelaburan) dan Cikgu Haji Hussein Ahmad (Tendong).

Walau bagaimanapun, Adun Pulai Chondong telah meninggal dunia pada 4 Disember 1996 sebelum sempat menyertai PAS, sedangkan Adun Kelaboran telah menyertai PAS pada 19 Julai 1997, sekali gus membolehkan beliau dilantik sebagai Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu pada 10 September 1997 dan terus kekal sebagai Adun PAS sehingga 2004.

Perubahan politik di Kelantan yang berlaku selepas Pilihan Raya Umum 1995 bukan sahaja menyebabkan pembubaran PMS46 pada 6 Oktober 1996 yang diikuti oleh penyertaan mereka ke dalam Umno pada 8 Oktober 1996, tetapi turut menyebab anggota Exco Kerajaan Kelantan dari PMS46 terpaksa meletakkan jawatan pada 9 Disember 1996 dan diikuti oleh kekalahan mereka dalam Pilihan Raya Kecil Pulai Chondong pada 7 Januari 1997 di mana PAS berjaya merampas semula kerusi yang dahulunya diwakili oleh PMS46.

Pada 27 Mei 1997, empat wakil rakyat PAS telah dilantik sebagai anggota Exco menggantikan wakil dari parti serpihan Umno yang dibubarkan itu.

Pembubaran PMS46 untuk menyertai Umno menjadi lebih malang apabila Majlis Tertinggi Umno pada 28 November 1997 hanya menerima 10,000 sahaja daripada 120,000 permohonan bekas ahli PMS46 untuk menyertai semula parti itu.

Pembubaran PMS46 inilah yang menyebab bekas-bekas wakil rakyat mereka memilih menyertai PAS, bukannya membawa lari kerusi yang dimenangi atas tiket PMS46 untuk mengkhianati parti mereka dengan menyertai PAS.

Apabila PMS46 dibubarkan, tiga bekas Adunnya melihat menyertai PAS lebih baik dari menyertai semula Umno.

Cikgu Hussein Ahmad yang menjadi Adun Tendong semenjak 1995 dengan mengalahkan calon BN, Mohd Yaman Mohamad dengan majoriti 587 undi telah mengisytiharkan penyertaannya ke dalam PAS pada 28 Februari 1998.

Menghargai komitmen beliau terhadap perjuangan Islam, pada 2 September 1990, beliau dilantik sebagai Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu berkuat kuasa mulai 1 Januari  1999 hingga 30 Jun 2000 sebelum diganti oleh Haji Ramli Abu Bakar.

Beliau terus istiqamah bersama PAS sehingga meninggal dunia pada 2008.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
28 Februari 2016 - HARAKAHDAILY 28/2/2016

Share on Myspace