Nelayan terkorban: Wira tidak didendang

NASRUDIN HASAN | .

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) menzahirkan rasa simpati dan takziah kepada semua kru pesawat TUDM CN235 yang berdepan dengan kegetiran pendaratan cemas berhampiran pantai Kuala Selangor. PAS menggesa pihak TUDM untuk segera mengemaskini aspek kualiti dan keselamatan aset ketenteraan supaya insiden seumpama itu tidak akan berlaku lagi.

Dalam kesempatan ini juga, PAS turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Abu Hassan Abdul Latif yang telah menemui ajal ketika berusaha untuk menyelamatkan kru pesawat TUDM tersebut. Ia adalah satu sikap empati dan komitmen sangat terpuji yang telah dilakukan oleh Almarhum meskipun akhirnya beliau sendiri yang terkorban.

PAS berharap pihak kerajaan wajar mengambil inisiatif untuk membela kehidupan keluarga nelayan tersebut. Kita juga tidak dapat menolak kemungkinan bahawa Almarhum merupakan ‘breadwinner’ kepada keluarganya. Hal ini tidak boleh hanya dipertanggungjawabkan kepada pihak Ahli Parlimen dan ADUN sahaja, sebaliknya ia mesti menjadi agenda di peringkat Kementerian Pertahanan.

PAS juga turut akan mengambil langkah berkebajikan dalam masa terdekat dengan beberapa langkah yang wajar dan sesuai dengan keupayaan PAS. PAS turut menggalakkan pihak komuniti setempat mengambil tindakan seumpama itu untuk meringankan bebanan keluarga Almarhum.

Selain itu, kerajaan juga wajar memberikan apresiasi kepada semua nelayan yang terlibat dalam membantu menyelamatkan kru pesawat TUDM tersebut. Meskipun berdepan dengan cabaran berisiko tinggi, mereka sanggup menempuhinya untuk melakukan operasi menyelamat. Sesungguhnya, ia adalah satu sikap yang terpuji dan sangat disanjungi. – HARAKAHDAILY 28/2/2016

Share on Myspace