Jasa India Hindu sehingga tertubuhnya PAS

ALANG IBN SHUKRIMUN | .

SATU lagi kisah yang nostalgik dan menarik untuk saya kongsikan bersama. Peristiwa kecil, namun telah mempengaruhi method perjuangan sehingga hari ini. Ceritanya adalah berkenaan bagaimana PAS boleh dibenarkan menjadi sebuah 'parti' di bawah pemerintah British sebelum merdeka.

Kisah ini diceritakan sendiri oleh bekas Yang Di Pertua PAS kedua, Dr Haji Abbas kepada Tuan Guru Ayah Chik.

Menurut Ayah Chik, Dr Haji Abbas memberitahu sebelum British memberikan kemerdekaan buat Malaysia, mereka telah mengisytiharkan untuk diadakan pilihan raya di Tanah Melayu pada tahun 1955.

PAS yang ditubuhkan pada tahun 1951 pula asalnya berdaftar sebagai sebuah NGO atas nama Persatuan Islam Se Tanah Melayu, bukan atas nama parti kerana tidak diizinkan oleh British. Dengan pengisytiharan tersebut, alim ulama berijtihad bahawa perlu menyertai pilihan raya ini.

Lalu jawatankuasa PAS yang dipimpin oleh Dr Hj Abbas memutuskan untuk mendaftarkan PAS sebagai sebuah parti bagi membolehkan untuk bertanding pilihan raya. Maka pergilah beliau dengan sepenuh tawakkal ke Pejabat Pendaftaran Pertubuhan untuk melaksanakan hal tersebut.

Walaupun tahu hampir mustahil pertubuhan bernama Islam ini didaftarkan, beliau tidak menyerah begitu sahaja sebelum mencuba.

Nak dijadikan cerita, Pengarah Jabatan iaitu orang British kebetulan tidak ada di pejabat waktu itu. Yang ada hanyalah timbalannya sahaja, seorang India Hindu. Apabila berjumpa sesama mereka. Masing-masing terkejut. Sebenarnya mereka sudah pernah berjumpa dan kenal sebelum ini.

Timbalan Pengarah tersebut pernah menjadi tahanan Komunis suatu masa dahulu. Tetapi menggunakan pengaruh Dr Haji Abbas yang merupakan Pengarah Hospital Besar Kuala Terengganu, beliau berjaya masuk ke kem tahanan dan membebaskan India Hindu itu. Tidak sangka pula orang tersebut dilantik British sebagai Timbalan Pengarah Jabatan.

Sebaik bertanya khabar, India tersebut bertanya tujuan Dr Haji Abbas datang. Jawab Dr Abas berterus terang, dia mahu menukar status PAS kepada sebuah parti.

Tanpa berfikir panjang, India tersebut terus menandatangani permohonan Dr Haji Abbas. Jasa baik Dr Abbas telah membuka hati orang bukan Islam untuk melicinkan gerakerja Islam. Maka luluslah PAS sebagai sebuah parti sejak hari itu.

Begitu hebat aturan tuhan! Tanpa siapa sangka, apabila Allah kehendakkan pertolongan-Nya kepada pejuang agama-Nya, dengan apa cara sekalipun ia boleh berlaku. Di sebalik kejayaan parti bernama Islam ini menempuh arus-arus bahaya politik tanah air, rupanya terselit nama seorang India Hindu yang sangat berjasa. Tekad Dr Abbas menjalankan tuntutan jemaah dibayar pertolongan yang sangat menakjubkan!

Menurut Ayah Chik, tuhan tolong Islam ini dengan berbagai cara sebagaimana tuhan tolong Islam zaman Nabi dahulu. Perjuangan Nabi Muhammad SAW juga ditolong oleh Abu Talib, bapa saudaranya. Walaupun sehingga akhir hayat beliau tidak menerima hidayah, tetapi peranannya cukup besar untuk Islam.

Tambah Ayah Chik lagi, siapa sangka tuhan membantu Islam di zaman Nabi Musa, melalui tindakan Firaun sendiri. Niatnya untuk membunuh orang yang didakwa akan menjatuhkan kerajaannya, tuhan tukar menjadikan beliau sendiri yang membesarkan orang tersebut dari istananya.

Peristiwa sebegini sepatutnya menambah keyakinan kita terhadap janji tuhan. Jangan berhenti mengharap daripada Allah SWT. Semua pihak di atas dunia ini adalah milik-Nya termasuk pihak yang lawan perjuangan kita sekarang. Jika diingini-Nya, tentu dia boleh buat apa sahaja dengan mereka semua.

Apalagi yang perlu kita persoalkan. Teruskanlah bekerja dan berusaha. Soal bila akan menang tak perlu dirisaukan kerana itu kerja tuhan. Kerja kita hanya cukupkan syarat untuk menang. Kelak bila tiba waktu Allah hendakinya, apa cara sekalipun pasti berlaku! – HARAKAHDAILY 28/2/2016

Share on Myspace