Pengusaha masih keliru SOP bauksit selepas moratorium

SITI SALWA SHAARI | .

KUANTAN: Pengusaha dan pemandu lori bauksit mengakui mereka masih keliru berkenaan prosedur operasi standard (SOP) yang bakal digunakan selepas tempoh moratorium bahan mineral itu tamat pada 15 April ini.
    
Mereka mendakwa masih belum menerima sebarang maklumat rasmi atau diberikan taklimat berkaitan operasi pengangkutan bauksit selepas larangan melombong dan mengeksport bauksit tamat.
    
Malah, penggunaan lori paka untuk operasi bauksit selepas tamat tempoh moratorium seperti dinyatakan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liong Tiong Lai baru-baru ini juga masih belum jelas.
    
Presiden Persatuan Pengusaha-pengusaha Bijih Besi Pahang Datuk Seri Tengku Zulkifli Tengku Ahmad berkata beliau secara peribadi berpendapat penggunaan lori paka, jenis tertutup keseluruhan seperti yang digunakan Alam Flora Sdn Bhd itu adalah tidak begitu praktikal.
    
"Jadi bagaimana mahu memunggah bauksit jika begitu? Jumlah lori jenis itu yang ada sekarang juga begitu sedikit kerana bukan semua pengusaha lori atau pemilik lori menggunakan lori jenis itu.
    
"Saya rasa lebih baik dikekalkan lori jenis tertutup sepenuhnya di bahagian belakang, namun diberikan syarat yang lebih ketat seperti had muatan dan penguatkuasaan berterusan," katanya.
    
Tengku Zulkifli menambah beliau percaya masih ada ruang penambahbaikan yang boleh dilakukan kerajaan pusat, kerajaan negeri dan agensi terlibat sebelum moratorium berakhir.
    
Katanya, setakat ini para pengusaha juga belum dipanggil untuk menjelaskan bentuk SOP nanti oleh pihak berkaitan.
    
"Apa yang penting sekarang ini adalah semua pihak bersabar sehingga rumusan dan garis panduan dikeluarkan. Kita semua perlu sabar sehingga semua urusan ini sudah cukup kemas untuk diteruskan pada masa hadapan," katanya.
    
Isu pencemaran alam sekitar perlombongan bauksit itu menyebabkan Kabinet bersetuju untuk mengenakan moratorium selama tiga bulan bermula pada 15 Jan lepas.
    
Sementara itu, pengusaha lori bauksit yang hanya mahu dikenali sebagai Yap, 50, yang ternyata masih keliru dengan jenis lori paka yang dimaksudkan itu berkata dia beranggapan lori paka adalah lori yang bertutup sepenuhnya di bahagian belakang, sama seperti yang digunakan pihaknya selama ini.
    
"Lori saya tertutup sepenuhnya di belakang. Jenis besi bukan jenis kayu. Bauksit tidak boleh tumpah jika bahagian belakang lori diperbuat daripada besi, tidak seperti kayu yang memang akan meninggalkan kesan di atas jalan," katanya yang memiliki 30 buah lori.
    
Pemandu lori bauksit, Zul Ahmad, 41, pula berharap agensi berkaitan segera tampil dengan garis panduan yang perlu dipatuhi pihak terlibat dalam perlombongan bauksit.
    
"Ada yang kata kami (pengusaha dan pemandu lori) kena hadir kursus, ada jalan baharu untuk angkut (bauksit), ada peraturan baharulah dan ada juga dengar kononnya SOP keluar seminggu sebelum tamat moratorium," katanya.  - Bernama

Share on Myspace