Sosial: Pekerja Bangladesh hadir tanpa keluarga di sisi

SHAHRIL RIZAL SAIDON | .

SHAH ALAM: Usaha kerajaan membawa masuk pekerja asing ke negara ini akan menyebabkan masalah sosial bertambah meruncing, kata veteran PAS, Haji Subky Latif.

Ini, katanya terutama apabila mereka hadir tanpa keluarga di sisi, lebih-lebih lagi bagi yang sudah berumahtangga.

Beliau berkata demikian sebagai respons isu pengambilan 1.5 juta warga Bangladesh yang ditangguhkan oleh kerajaan.

Tegasnya, kemasukan mereka sebenarnya tidaklah membantu untuk menyelesaikan pengangguran di negara ini.

"Gejala seperti zina, rogol, bahkan gay boleh merebak. Benar di sana ada seruan Nabi s.a.w supaya berpuasa, tetapi bagaimana yang sudah pernah merasai nikmat berumahtangga ini?

"Kisah di zaman Saidina Umar sepatutnya dijadikan rujukan. Beliau hanya menghadkan 4 bulan bagi setiap tenteranya berjauhan dari keluarga.

"Kemudian pasukan tersebut akan diganti dengan pasukan yang lain. Manakan tidak, kucing pun tidak boleh hidup sesama jantina," katanya pada program Seminar Penulisan PAS Negeri Selangor di Auditorium Muzium Shah Alam di sini, semalam.

Tegasnya, kerajaan wajib memikirkan suatu kaedah berpandukan ajaran Islam dalam mencari jalan penyelesaian kepada permasalah itu.

Antaranya ujar beliau, memberikan ketelusan dalam pengagihan skop kerja serta gaji yang minimum kepada bakal pekerja.

Sebaliknya ujar beliau, jika kerajaan tetap berkeras mahu membawa masuk warga asing itu, mungkin pihak berwajib perlu menetapkan syarat yang berpaksikan Islam.

"Adalah lebih baik kita membenarkan kemasukan warga asing yang menjaga solat daripada kita memberikan rakyat Malaysia yang tidak solat untuk bekerja.

Ini, katanya dapat mewujudkan persaingan yang sihat, malah mampu mengurangkan masalah sosial sedia ada.

Tambahnya lagi, syarat itu perlu ada ketegasan dalam menunaikan tanggung jawab sebagai khalifah Allah yang mendukung prinsip syariat Allah dalam setiap aspek kehidupan.

"Mudah-mudahan negara kita akan dilimpahi barakah dan menjadi baldatun thayyibatun wa rabbun ghafur," ujarnya. - HARAKAHDAILY 29/2/2016

Share on Myspace