Anti Umno: Rafizi beri gambaran salah

AHMAD FADHLI SHAARI | .

Seorang Ahli Parlimen yang digambarkan sentiasa berhujah dengan fakta dan angka tidaklah wajar sengaja memberikan gambaran yang salah terhadap sesuatu isu. Malangnya Yang Berhormat Rafizi Ramli yang saya hormati nampaknya cenderung ke arah itu apabila membicarakan berhubung pendirian Presiden PAS dalam isu apa yang dikatakan sebagai Himpunan Anti Najib pada 27 Mac ini.

Tiada siapa di kalangan pemimpin PAS yang memberikan gambaran bahawa PAS ingin bersama  Najib. Tiada sepatah kenyataan dari Presiden PAS bahawa parti ini sedang bekerja untuk mempertahankan Najib pada ketika kemarahan rakyat sedang memuncak. Apa yang dinyatakan oleh Presiden PAS ialah agenda yang lebih besar iaitu menukar sistem yang sedang mentadbir negara ini yang telah dirosakkan secara total oleh Umno dan Barisan Nasional.
 
Hairan saya, kenapa Rafizi yang begitu genius tidak boleh memahami kenyataan mudah dan ringkas daripada Presiden PAS ini? Perhatikan baik-baik transkripsi kenyataan Presiden PAS:
“Saya anti Umno….tetapi tidak (anti) orang Umno, orang Umno tidak, orang Umno kita (Pas) hendak berbaik. Ada pun parti Umno sudah banyak (buat) kesilapan. (Oleh itu) saya tidak mahu terlibat dalam himpunan (anti-Najib) itu.”

Di manakah silap kenyataan yang mudah di atas? Saya lihat saudara Rafizi sengaja pula menyelewengkan maksud yang sebenar dengan meletakkan perkataan “(pemimpin)” yang tidak disebut oleh Presiden PAS.

Perhatikan pula tulisan Rafizi: “Namun saya ditanya berkali-kali oleh orang ramai (terutama pengunjung FB ini) mengenai pandangan saya kepada pendirian terbaru Dato' Seri Hadi Awang iaitu "menolak parti Umno, berkawan dengan orang (pemimpin) Umno".”

Dari mana datang perkataan “pemimpin” itu? Apa yang pasti bukan dari Kajang ataupun Sungai Buluh. Ia adalah imaginasi saudara Rafizi yang sengaja diletak diatur sebaik mungkin bagi memberikan gambaran seolah-olah PAS sedang cuba berbaik-baik dengan pemimpin Umno.

Saya fikir Rafizi perlu mentelaah kenyataan Ketua Umumnya sendiri yang telah disampaikan oleh Presiden PKR. Bukankah Anwar sendiri berkata bahawa “Langkah terbaik menyelamatkan Malaysia adalah menukar seluruh sistem negara dan bukannya sekadar seorang individu sahaja..”?

Sekalipun tajuknya ditukar daripada tajuk asal: “Anwar Tidak Setuju Jatuhkan Najib” namun maksudnya membawa kepada pemahaman yang sama. Menjatuhkan Najib pada saat sekarang tidak membawa apa-apa manfaat kepada negara kerana individu yang akan menggantikannya tidaklah lebih baik daripada seorang Najib. Kenyataan ini boleh diakses melalui pautan: http://bm.selangorku.com/90677/langkah-terbaik-selamatkan-malaysia-anwar/

Atau PKR telah hilang kawalan terhadap Setiausaha Agungnya sendiri? Barangkali DAP lebih berhati-hati dalam menyatakan pendirian dalam isu Anti Najib ini. Perhatikan apa kenyataan Setiausaha Organisasi parti itu, Anthony Loke di dalam sidang medianya tiga hari lepas di pautan: https://www.youtube.com/watch?v=IWkK0e2qw8E.

Beliau dengan jelas menyatakan bahawa DAP bukanlah penganjur utama dan belum menerima apa-apa jemputan untuk menyertai gerakan Anti Najib ini. Lebih berhati-hati lagi katanya, DAP akan mengadakan perbincangan sebelum menetapkan sebarang pendirian berhubung isu ini.

PAS sama sekali tidak mendukung kezaliman dan salah laku pentadbiran kerajaan hari ini. Namun PAS tegas untuk menyatakan bahawa menukar individu yang ada tidak akan menyelesaikan masalah negara dengan total.

Apa yang lebih mustahak ialah rakyat wajib disedarkan bahawa sistem yang mentadbir negara ini telahpun mengalami kerosakan teruk tanpa dapat diperbaiki lagi. PAS bergerak ke arah menukar ganti sistem korup yang mentadbir negara pada hari ini.

Justeru, PAS menghulurkan salam kepada ahli-ahli Umno untuk bersama-sama bahtera ini melakukan perubahan. Bukankah ini juga yang dinyatakan pemimpin DAP sebulan yang lalu? Rujuk http://www.malaysiadateline.com/index.php/berita-list/15-berita/806-dap-dan-pakatan-harapan-sedia-kerjasama-dengan-pemimpin-dan-ahli-umno-yang-kecewa

Ramai tertanya-tanya, tergesa-gesanya saudara Rafizi mengumumkan kesediaannya menyertai gerakan Anti Najib ini adakah mewakili partinya atau hanya sekadar pandangan peribadi? Atau Rafizi ingin menyindir rakan-rakannya sendiri di dalam PKR dengan menjadikan Presiden PAS sebagai sasaran?

Apapun tahniah kerana menyatakan pendirian dengan segera. Barangkali jika Setiausaha Agung PKR bertindak secepat ini di dalam isu dua Adun PKR di Pulau Pinang ditamatkan perkhidmatan di dalam syarikat milik kerajaan negeri, tentu ia lebih menggembirakan ahli-ahli parti itu. - HARAKAHDAILY 29/2/2016

Penulis ialah Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Share on Myspace