Presiden PAS sedia berdebat pertahan manifesto (2008)

HARAKAHDAILY | .

PRESIDEN PAS SEDIA BERDEBAT UNTUK PERTAHAN MANIFESTO (29 FEBRUARI 2008)

PADA hari ini dalam tahun 2008, Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang telah menyatakan kesediaannya untuk berdebat dengan Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam isu Manifesto PAS semasa kempen Pilihan Raya Umum 2008.

Sebelum ini, pemimpin tertinggi Umno itu mendakwa Manifesto PAS yang bertema 'Kerajaan Beramanah, Adil dan Bersih Menuju Negara Berkebajikan' sebagai buruk dan bakal memufliskan negara.

Pilihan Raya Umum Ke-12 ini diadakan ekoran pembubaran Parlimen pada 13 Februari 2008, diikuti oleh penamaan calon pada 24 Februari 2008 dan pembuangan undi dibuat pada 8 Mac 2008 dengan 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi DUN dipertandingkan.

PAS yang bersekutu dengan PKR di bawah Barisan Alternatif (BA) telah melancarkan manifesto 'Menuju Negara Berkebajikan' yang mengandungi 12 teras utama setebal 36 muka surat. Ia dilancarkan oleh Presiden PAS di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur pada 21 Februari 2008.

12 teras Manifesto PAS ini ialah Kerajaan Beramanah, Adil dan Bersih; Pengurusan Kejayaan Negara; Jaminan Keselamatan Nyawa; Kehormatan dan Harta Benda Dengan Membanteras Jenayah; Pendidikan Menyeluruh Pemacu Perubahan dan Jaminan Perkhidmtan Kesihatan Rakyat; Kebajikan Pekerja Sektor Awam dan Swasta; Pembelaan Kebajikan Menyeluruh Mesra Rakyat; Tawaran Istimewa Bagi Kaum Wanita; Memajukan Industri Pertanian; Dasar, Etika dan Amalan Media Adil, Bersih dan Demokratik; dan Pemeliharaan Alam Sekitar.

Ketika mengulas manifesto ini, para pemimpin Umno telah mendakwa ia adalah satu manifesto yang tidak baik untuk negara. Antara kritikan mereka ialah tentang cadangan PAS untuk meningkatkan subsidi petrol dan menyediakan pendidikan percuma.

Ekoran serangan pemimpin Umno ini, pada 28 Februari 2008, PAS telah mencabar Umno untuk berdebat dalam isu manifesto ini yang bertujuan untuk membolehkan rakyat menilai dengan matang manifesto kedua-dua parti.

Pada 29 Februari 2008, Presiden PAS dan timbalannya, Ustaz Nasharudin Mat Isa telah menyatakan kesediaan mereka untuk berdebat masing-masing dengan Pak Lah dan Datuk Seri Mohd Najib Razak di mana-mana sahaja dengan cadangan tarikh 4 Mac 2008 untuk Timbalan Presiden dan 5 Mac 2008 untuk Presiden kedua-dua parti.

Pemimpin Umno walau bagaimanapun tidak memberi respons terhadap cabaran ini.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
29 Februari 2016 - HARAKAHDAILY 29/2/2016

Share on Myspace