Pecat Muhyiddin: Umno perlu Perhimpunan Agung Khas

ASPAN ALIAS | .

MAJLIS Tertinggi Umno telah menggantung jawatan Muhyiddin Yassin, Timbalan Presidennya dengan begitu mudah tanpa merujuk kepada Jawatan Kuasa Disiplin parti dan apa-apa lagi yang perlu dibuat sebelum menggantung jawatannya itu.

Yang digantung itu adalah Timbalan Presiden parti yang dipilih oleh perwakilan. Maka adalah wajar Umno memanggil perhimpunan agong khas bagi merujuk tindakan Najib dan Majlis Tertinggi kepada ahli melalui perwakilan dari setiap bahagian Umno dari seluruh negara.

Dalam perhimpunan agong itu Presiden parti perlu memberikan penerangan dan beri sebab Timbalannya digantung dan Muhyiddin sendiri wajar hadir dan memberikan pandangan dan jawapan kenapa beliau bertindak menegur Presiden parti berhubung dengan isu terbesar dalam dunia ini yang dikaitkan dengan Presiden parti.

Perhimpunan Agong Khas ini amat wajar diadakan jika Umno mahu melihat parti itu tidak menghadapi masalah besar yang lain dan Najib sendiri boleh mempertahankan diri beliau dalam parti selain dari menggunakan kuasa eksekutif memecat Muhyidn secara ‘unilateral’ dan mengikut sesuka hatinya tanpa merujuk kembali kepada ahli yang memilih Muhyiddin dahulu.

Jika kita hendak bercerai dengan isteri amatlah penting dan wajar bagi kita menghantarkan si isteri kepada ibu bapa mereka yang telah membenarkan kita memperisterikan anak mereka dahulu.

Memanggil Perhimpunan Agong Khas ini merupakan cara yang paling bermoral dan demokratik sejajar dengan waktu dan zaman serta mempertahankan moral pucuk pimpinan parti. Mana boleh kita ceraikan isteri dan membiarkan isteri itu melata.

Najib perlu menghantar kembali Muhyiddin kepada ahli-ahli Umno dan beritahu kenapa Najib menceraikan Muhyiddin dan tunjukkan kebertanggungjawaban sebagai seorang pemimpin nombor satu parti pemerintah itu.

Perhimpunan Agong Khas ini boleh mengelakkan Najib dipanggil dengan nama seperti ‘pemimpin pariah, pemimpin diktator dan pemimpin rasuah’  atau nama-nama buruk yang lain terhadap diri beliau.

Najib patut berani membersihkan nama beliau dari persepi buruk masyarakat yang dipimpinnya serta pandangan masyarakat antarabangsa yang sedang melihat perlakuan kepimpinan negara kita itu. Perlu diingat Najib adalah Perdana Menteri negara kita yang mewakili sebuah negara yang dikatakan negara yang berdaulat.

Pemimpin negara berdaulat tidak boleh mempunyai nama buruk dan persepsi kotor di peringkat antarabangsa. Pemimpin negara berdaulat perlu mempunyai nama yang bersih dan tersisih dari noda dan dosa rasuah dan amalan buruk yang lain.

Najib sekarang bukannya pengerusi kilang padi atau persatuan silat atau persatuan bujang terlajak dan sebagainya. Najib tidak boleh pandai bermain politik dan naik ke peringkat tertinggi tetapi tidak tahu untuk berkelakuan sebagai seorang Perdana Menteri dan apa-apa etika dan syarat seorang Perdana Menteri yang sebenarnya.

Itu sebabnya jika Najib dan konconya tidak berdaya menjadi seorang yang matang dan dewasa, ikut sahaja saranan rakyat yang ramai-ramai ini, iaitu letak jawatan.

Sekarang Setiausaha Agong Umno T Adnan lebih baik fikirkan untuk memanggil Perhimpunan Agong Khas ini secara serius dari bercakap tunjuk garang yang tidak memberi faedah kepada sesiapa.

Kepada Najib, T Adnan serta Zahid Hamidi dan Keruak, jadilah orang dewasa. 'Show that you are well bred leaders. Have some courage to face the members'. - aspanaliasnet.blogspot.my/

Share on Myspace