Kembalikan semula biasiswa kepada pelajar cemerlang

JOFRI JARAIEE | .

BARU-baru ini pengubahsuaian bajet 2016 yang dibentangkan oleh YAB Perdana Menteri Datuk Sri Najib Razak pada 28 Januari 2016, telah memutuskan perkara-perkara yang berkaitan isu penajaan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam. Berikut adalah antara perkara yang disentuh:-
 
•Program Biasiswa Nasional bagi 20 orang pelajar terbaik lepasan SPM untuk melanjutkan pengajian di universiti terkemuka seluruh dunia;
•Program Khas Kejuruteraan bagi 200 orang pelajar ke Jepun, Korea, Jerman dan Perancis;
•Program Lepasan Bursary diteruskan untuk mengikuti pengajian di peringkat Ijazah Pertama di Universiti Awam dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) di dalam negara; dan
•Pengambilan baharu seramai 8 ribu pelajar akan diberikan biasiswa untuk mengikuti pengajian yang ditetapkan di peringkat Ijazah Pertama Dalam Negara.
 
Namun beberapa minggu selepas berita kemasukkan 1.5 juta tenaga buruh dari Bangladesh ke Malaysia diumumkan, kerajaan telah mengumumkan yang penajaan atau biasiswa boleh ubah dalam bentuk pinjaman.
 
Semua penajaan baru JPA mulai tahun 2016 adalah dalam bentuk pinjaman boleh ubah dengan mekanisme perjanjian pinjaman seperti berikut:
 
a. Pinjaman boleh diubah kepada biasiswa dan dikecualikan daripada bayaran balik sekiranya graduan berkhidmat dalam perkhidmatan awam;
 
b. Graduan dikehendaki membayar balik 50% daripada jumlah pinjaman sekiranya memilih untuk bekerja dengan syarikat berkaitan Kerajaan (GLC); dan
 
c. Graduan dikehendaki membayar balik jumlah keseluruhan pinjaman sekiranya memilih untuk tidak berkhidmat dalam Perkhidmatan Awam atau GLC.
 
Tindakan ini agak menyusahkan para graduan yang sukar untuk mendapatkan pekerjaan dan ini adalah tindakan sangat zalim, dan membuktikan kegagalan kerajaan Barisan Nasional dalam mentadbir negara yang mengutamakan kebajikan rakyat.
 
Kerajaan telah bersetuju dengan Model Baharu Penajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) seperti butiran berikut:
Program-program Penajaan JPA bagi tahun 2016 ialah:
a. Program Penajaan Nasional (PPN);
b. Program Khas Kejuruteraan;
c. Program Ijazah Dalam Negara; dan
d. Program Lepasan Bursary di Institusi Pengajian Tinggi dalam Negara.
 
Sekiranya pihak kerajaan meneruskan rancangan untuk ubah biasiswa dalam bentuk pinjaman, ia pasti membebankan pelajar yang kurang berkemampuan untuk membayar balik disebabkan tiada pekerjaan tetap setelah keluar dari pusat pengajian tinggi.
 
Baru-baru kita terbaca akan nasib tiga orang adik-beradik di bandar raya Miri yang terpaksa berjalan kaki dari rumah ke sekolah mereka seawal pagi disebabkan masalah kewangan. Keluarga mereka tergolong dalam kategori miskin tegar bandar dan tidak mampu untuk memberi pembelanjaan anak-anak untuk ke sekolah.
 
Bayangkan dengan kisah yang berlaku seperti tiga anak kecil ini, apa akan terjadi pada nasib rakyat sekiranya kos bayaran untuk pendidikan terlalu tinggi dan tidak mampu dibayar oleh rakyat yang hidup dalam kesusahan.
 
Kalau masa lalu ada juga skim bantuan pelajar miskin dan diberi percuma. Tapi sekarang semuanya memerlukan duit, sudahlah harga barang naik dengan adanya GST 6%, kenapa pula biasiswa pendidkan ditukar menjadi pinjaman dan rakyat jadi mangsa.
 
PAS mengesa kerajaan mengkaji semula dasar tersebut demi menjaga kebajikan pelajar yang cemerlang terutama dari golongan yang susah untuk mendapatkan pendidikan yang terbaik dengan lebih terjamin
untuk masa depan negara.
 
Dalam keadaaan rakyat dihimpit dengan kos sara hidup tinggi, ramai pengangguran, rakyat dan masa hadapan pelajar cemerlang jadi mangsa. Ini semua akibat daripada pengurusan kewangan yang tidak efisien dan amanah sehingga negara menanggung kerugian besar.
 
Kebajikan rakyat perlu diberi keutamaan jangan disebabkan masalah hutang dan kewangan negara yang tidak diurus dengan cekap dan amanah menyebabkan rakyat terus hidup dalam penderitaan.
 
Kerajaan perlu memandang serius masalah rakyat dan pelajar yang cermerlang ini. Mereka sebenarnya akan jadi aset kepada negara sekiranya diberi kemudahan serta tempat yang terbaik untuk mereka membina kehidupan yang terbaik buat diri dan juga pada negara pada masa hadapan. – HARAKAHDAILY 29/2/2016

Share on Myspace