PAS Selangor tidak sertai himpunan anti Najib

HARAKAHDAILY | .

Pendirian PAS Selangor adalah sama dan selari dengan pendirian Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. PAS Selangor tidak akan turut serta dan tidak akan mengerahkan ahli untuk menyertai himpunan tersebut.

Sebagaimana yang ditegaskan berulang kali, masalah yang dihadapi oleh negara pada hari ini adalah masalah endemik yang berpunca daripada penyalahgunaan kuasa di setiap peringkat dan institusi kerajaan.

Penyakit Kronik yang menular di setiap peringkat pentadbiran ini hanya boleh diatasi dengan kepimpinan ulama dan professional yang tekad, menekankan perkiraan dosa dan pahala serta meletakkan syariat Islam sebagai agenda utama.

Oleh itu, Umno dan Barisan Nasional perlu disingkirkan daripada pentadbiran negara secara total.

Pada masa yang sama, PAS Selangor juga memahami hakikat bahawa ramai ahli Umno kini menolak Datuk Seri Najib Tun Razak dan seluruh barisan kepimpinan Umno.

Majoriti ahli Umno kecewa dan tidak redha dengan tindakan korup dan otokratik beliau.

Oleh itu, PAS menawarkan sebuah wadah yang syumul berteraskan Islam dan menyeru seluruh ahli Umno untuk berhijrah ke PAS.

Untuk menjamin masa depan negara, PAS Selangor akan mempertingkatkan agenda penerangan agar rakyat memahami isu korupsi, integriti dan kebobrokan ekonomi serta mengajak seluruh rakyat Selangor untuk menolak Umno dan Barisan Nasional di dalam PRU14 secara total.

Mohd Prasad Hanif
Ketua Penerangan PAS Negeri Selangor - HARAKAHDAILY 29/2/2016

Share on Myspace