Warga emas Cina Kelantan kuasai tulisan jawi

Salmah Mat Husain|Foto Rizal Tahir | .

KOTA BHARU: Tahun-tahun 1960-an sehingga 1980-an ramai masyarakat Cina di Kelantan yang mampu menulis dan membaca tulisan jawi.

Menteri Besar Ustaz Datuk Ahmad Yakob berkata keadaan itu menggambarkan hubungan masyarakat Cina dan orang Melayu di Kelantan begitu rapat.

“Ada baiknya generasi muda masyarakat Cina yang ada sekarang mengimbau nostalgia itu dengan cuba mempelajari tulisan jawi seperti mana dilakukan datuk nenek mereka.

“Tidak salah untuk memperbaharui semula usaha tersebut sebagai menggambarkan kelainan masyarakat Cina di Kelantan,” katanya pada majlis ramah mesra dan penyampaian sumbangan sempena Tahun Baru Cina di JKR 10, kelmarin.

Program itu dihadiri 60 pemimpin masyarakat Cina yang bertugas sebagai ahli-ahli majlis daerah, penghulu dan kakitangan awam negeri.

Hadir sama  anggota Exco Datuk Anuar Tan Abdullah, Pengarah Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Md Ashari Mamat, Pegawai Khas Menteri Besar, Lau Chin Chuan dan Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS Kelantan Lim Guang Seng.

Menteri Besar juga berharap masyarakat bukan Islam merujuk maklumat daripada sumber yang tepat berkaitan kerajaan negeri dan PAS. - HARAKAHDAILY 1/3/2016

Share on Myspace