Kabus: Masih menggigil jam 9 pagi di Lojing

ASLANI M | .

GUA MUSANG: Lojing yang terletak bersebelahan Blue Valley, Cameron Highlands masih kekal dengan suhu sederhana sejuk biarpun pembangunan pertanian di kawasan itu semakin pesat.

Sehingga kini difahamkan terdapat kira-kira 190 pengusaha mengusahakan tanaman sayur-sayuran secara komersial di kawasan lebih 1,300 ekar di sekitar tanah tinggi Lojing.

Paling terasa suhunya di sekitar Masjid Long Tan iaitu di bawah 18 darjah Celsius. Jam 9 pagi seperti jam 6 pagi di tempat lain. Suasananya berkabus tebal sehingga mengehadkan pandangan.  

Imam Masjid Long Tan Muhamad Kadir berkata cuaca di sekitar masjid lebih sejuk berbanding tempat-tempat lain di Lojing.

“Apabila hujan turun suhu menjadi semakin sejuk. Sudah menjadi kebiasaan hujan turun bersama tiupan angin. Kehadiran angin menyebabkan suhu bertambah sejuk lagi.

“Di sini boleh dikatakan sejuk sepanjang tahun. Musim kemarau pun suhunya sejuk juga. Kalau di musim kemarau waktu malam pula sejuk,” katanya ketika ditemui semalam.

Lojing terletak di barat daya negeri Kelantan, berkeluasan 1,817 km persegi iaitu satu perempat daripada keluasan jajahan Gua Musang.

Kedudukan geografinya diketinggian 610 meter hingga 1,500 meter dari paras laut membuatkan suhu antara 18C hingga 25C.

Kehadiran hujan menyebabkan kabus menjadi tebal pada sebelah malam dan pagi. Kabus tebal menghadkan pandangan sehingga menyebabkan kenderaan yang melalui kawasan itu terpaksa lebih berhati-hati.

Ketika rombongan Harakah dan media Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri (UPKN) melewati kawasan itu malam Ahad lepas pandangan begitu terhad.

“Kalau ada lubang di atas jalan tidak nampak langsung. Kita kena rempuh apa sahaja yang ada di hadapan.

“Pemanduan lebih sukar kerana tidak ada garis putih di tepi dan tengah jalan. Hanya tembok batu di tengah jalan sahaja menjadi panduan,” kata Hisyam, pemandu UPKN.    

Tiupan angin menyebabkan lantai kawasan lobi masjid sentiasa basah. Marmar lantai masjid ketika dijejaki terasa sengal.

Begitu juga ketika menjamah air bagi mengambil wuduk, sejuknya mencucuk sehingga ke tulang. Malam Ahad dan pagi semalam menyebabkan kami terpaksa mengenakan pakaian tiga lapis.

Suasana berkabus itu hanya berlaku di sekitar Masjid Long Tan, sedangkan setengah kilometer dari tempat itu cuacanya lebih terang dan kurang sejuk.

Masjid tersebut yang terletak di pintu sempadan Kelantan-Pahang sentiasa menjadi tumpuan pelancong dan pengguna jalan raya Simpang Pulai-Gua Musang.

Mereka tidak melepaskan peluang merakam suasana sekitar masjid dengan handphone.

Hanya menjelang waktu Zohor kawasan sekitar masjid cerah dan kabus mulai hilang.

“Suasana seperti ini sudah biasa di sini. Solat Subuh terpaksa memakai jaket dan pintu masjid terpaksa sentiasa ditutup bagi mengelakkan kemasukan angin dingin,” kata Zaki, bilal masjid berkenaan. - HARAKAHDAILY 1/3/2016

Share on Myspace