Kekalkan Najib atau sertai Mahathir?

ALANG IBN SHUKRIMUN | .

SALAH satu sikap yang boleh dilihat pada Tun M ialah, dia sayangkan Umno. Segala tindakan yang pernah dibuat adalah untuk selamatkan Umno. Antaranya:

1. Mendaftarkan Umno baru setelah Umno asal diharamkan mahkamah. Mengambinghitamkan Umno 11 sebagai dalang pengharaman dan menyeru ahli Umno kembali bersatu.

2. Letak jawatan Presiden Umno ketika parti sedang berkrisis dan lemah demi tidak memburukkan lagi keadaan.

3. Keluar Umno zaman Pak Lah sebab kepimpinan Pak Lah menghancurkan Umno. Masuk kembali untuk memperkuatkan Umno setelah Pak Lah turun.

4. Keluar Umno semalam kerana Najib sedang bawa Umno kepada kebencian rakyat dan ahli sendiri. Menyatakan hanya akan kembali masuk Umno selepas Najib meletak jawatan.

Tapi Najib nampaknya berbeza. Dia lebih cintakan kedudukannya berbanding Umno. Dia lebih rela melihat Umno hancur dari melepaskan jawatan. Dia tak kisah memecat semua tokoh-tokoh Umno asalkan terus berkuasa. Dia tak peduli seorang demi seorang veteran Umno meninggalkan parti itu asalkan jawatannya tidak tergugat.

Oleh itu, sesiapa yang menyokong tindak-tanduk Mahathir, atas alasan ingin menghancurkan Umno amatlah buruk pandangan politiknya. Mereka hanya menjadi keldai untuk Mahathir tunggang bagi memastikan Umno selamat.

Sesiapa yang menyokong Najib meletak jawatan, bermakna mereka menyokong Zahid Hamidi sebagai PM baru. Inilah adatnya setiap kali mana-mana PM meletak jawatan. Mustahil sama sekali akan berlaku PRU jika Najib turun. Yang berlaku hanyalah Umno kembali stabil.

Untuk maklumat, Zahidlah dalang yang sebelum ini beria-ia mengimport 1.5 juta warga Bangladesh ke Malaysia. Zahidlah yang sentiasa mengugut untuk menangkap pengkritik kerajaan dalam media sosial.

Zahid juga hingga sekarang rapat dengan Anwar Ibrahim. Boleh jadi cita-cita berkonsensus nasional masih segar dalam rancangan juak-juak Anwariyyun dan akan bertambah mudah jika Umno dikuasai Anwariyyun.

Walau bagaimanapun, sesiapa yang memilih untuk Najib kekal sebagai Presiden Umno adalah amat bijak. Ini adalah pelaburan besar demi PRU14. Mengekalkan pemusnah Umno di posisi terpenting parti itu akan meneruskan kebencian rakyat dari luar dan melanjutkan keruntuhan Umno dari dalam.

Jatuh Najib, Umno selamat. Tapi jika jatuh Umno, insya-Allah Malaysia selamat. – HARAKAHDAILY 1/3/2016

Share on Myspace