Bauksit: Adun Pembangkang kesal undangan ditarik balik

BASIRON WAHAB | .

KUANTAN: Ahli Dewan Undangan (Adun) pembangkang kesal dengan sikap kerajaan negeri dan pusat yang tidak melibatkan mereka di dalam taklimat berkenaan langkah-langkah untuk mengatasi pencemaran bauksit di pelabuhan kuantan 26 Febuari lalu.
 
Adun Beserah, Andansura Rabu berkata, beliau mengalu-alukan lawatan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar ke Kuantan namun kesal kerana tidak diundang mengikuti taklimat berkenaan.
 
Katanya, seharusnya semua pihak berkaitan dengan isu bauksit perlulah dilibatkan secara langsung.
 
“Kami (adun pembangkang) sebenarnya telah bersedia untuk mendengar apakah langkah-langkah yang telah dan akan diambil dalam tempoh moratorium ini.
 
“Kami juga telah bersedia untuk memberikan pandangan serta cadangan penambahbaikan. Malangnya selepas permohonan untuk terlibat sama dalam taklimat tersebut dibenarkan, ia ditarik semula pada saat-saat akhir. Inilah amalan yang sangat tidak telus dan sekaligus menafikan kepentingan rakyat secara keseluruhanya,” ujar beliau kecewa.
 
Menurutnya, pengumuman menteri memberikan sedikit kelegaan kepada orang ramai tetapi masih tidak menjawab banyak persoalan berbangkit.
 
Katanya antara yang dibangkitkan di manakah lokasi penyimpanan bauksit berpusat yang dicadangkan?
 
Andasura juga pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS Pahang mempersoalkan tentang jarak jalan khas yang diumumkan oleh menteri berkenaan dari Bukit Goh ke pelabuhan Kuantan sejauh 5km. Ini kerana jarak berkenaan  tidak tepat kerana jarak sebenar dari Bukit Goh ke pelabuhan melebihi 15km.
 
“Kerana jarak jalan yang disebutkan oleh menteri sejauh 5km sahaja, Jadi lokasi  sebenar jalan khas itu di mana,” soal beliau.  
 
Katanya lagi, Oleh sebab pihak berkuasa tahu kewujudan pelombong haram, apa pula tindakan terhadap lombong dan pelombong haram itu.
 
“Jika kerajaan negeri sendiri mengakui terdapat banyak lombong haram yang menjadi alasan sukar untuk diambil tindakan, apakah jaminan kerajaan negeri selepas ini, tiada lagi lombong haram,” soalnya.
 
Beliau ingin tahu bagaimana pula dengan persoalan amalan perlombongan yang bakal diperkenalkan? Adakah amalan itu nanti boleh menjamin tidak akan berlaku pencemaran udara, sungai dan laut?
 
Oleh itu, beliau menuntut pihak kerajaan supaya mengadakan satu taklimat dan dialog berkenaan aktiviti bauksit ini kepada semua yang berkepentingan termasuk penduduk yang bakal terdedah kepada kesan dari aktiviti ini.
 
Antara kawasan yang terlibat dengan isu bauksit ini ini ialah Dun Beserah diwakili oleh PAS manakala Parlimen Indera Mahkota diwakili oleh Datuk Fauzi Abdul Rahman (KeADILan).  

Pada 26 Febuari lalu, media melaporkan Kerajaan negeri Pahang akan membina jalan khas untuk mengangkut bauksit dari Bukit Goh ke pelabuhan Kuantan bagi mengelak pencemaran udara di kawasan perumahan, kata Datuk Seri Dr Wan Junaidi.

Beliau berkata pembinaan jalan sepanjang lebih lima kilometer itu telah dipersetujui oleh Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob dan Jabatan Kerja Raya.

Katanya, usaha pembersihan sedang giat dijalankan di Pelabuhan Kuantan tetapi ada bahagian masih belum bersih kerana lori-lori membawa bauksit masih menggunakan beberapa laluan untuk masuk ke pelabuhan.

Tempoh penggantungan aktiviti melombong bauksit selama tiga bulan akan berakhir pada 15 April depan. – HARAKAHDAILY 1/3/2016

Share on Myspace