PAS yakin sokongan di Felda meningkat dalam PRU14

BASIRON WAHAB | .

TEMERLOH: PAS Pahang yakin sokongan masyarakat Felda kepada parti itu dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang meningkat berdasarkan perkembangan terkini isu-isu membabaitkan agensi berkenaan.
 
Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pahang, Hasenan Harun berkata secara umumnya sokongan terhadap PAS semakin meningkat dan PAS sendiri  mempunyai kekuatan asas di rancangan Felda.
 
Katanya, cawangan-cawangan PAS ada di semua rancangan Felda khususnya di Pahang dan sokongan terutamanya dari padaanak muda semakin bertambah dari semasa ke semasa.
 
Menurutnya, peneroka dan generasi baharu Felda (generasai kedua dan ketiga) semakin ‘meluat’ dengan beberapa tindakan agensi berkenaan yang dilihat membelakangi kepentingan masyarakat peneroka melalui  tranformasi yang dibuat oleh kerajaan Umno/BN.
 
Antara tranformasi yang dibuat oleh kerajaan Umno/BN ialah memajak tanah Felda kepada Felda Global Venture Holding (FGVH) dan menyenaraikannya di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL).
 
Aset  Koperasi Permodalan Felda (KPF) dipindah kepada FGVH merugikan peneroka yang melabur dalam Koperasi tersebut.  
 
Difahamkan undi masyarakat Felda memainkan peranan besar untuk kemenangan parti-parti politik yang bertanding dalam pilihan raya umum di banyak kawasan parlimen dan Dun di seluruh negara.
 
Di Pahang, 12 daripada 14 kawasan parlimen mempunyai penempatan Felda, manakala di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) pula 27 daripada 42 kawasan mempunyai penempatan Felda.
 
“Selama ini undi peneroka dianggap hak mutlak Umno/BN kerana kemasukan peneroka ke rancangan sudah ditapis dengan teliti namun kehadiran generasi baharu sudah mengubah iklim poltik peneroka, keadaan itu menjadikan kawasan Felda tidak boleh dianggap hak mutlak Umno/BN lagi,” katanya.
 
Dalam PRU13 lalu, tiga Dun yang dimenangi PAS di Pahang iaitu Kuala Semantan, Beserah dan Tanjung Lumpur adalah kawasan yang tidak mempunyai penempatan Felda manakala parlimen Temerloh hanya mempunyai dua penempatan Felda di Dun Lancang iaitu Felda Lakum dan Bukit Damar.
 
 Menurut Hasenan, antara sebab mengapa peneroka menjadi pengundi tetap Umno/BN, ia berpunca daripada kejayaan gerak saraf Umno menguasai pemikiran sehingga peneroka merasa terhutang budi kepada Umno/BN yang membina penempatan Felda yang mengubah kehidupan peneroka menjadi lebih baik.  
 
Gerak saraf Umno memainkan isu tersebut dengan jayanya sehingga peneroka merasa bersalah jika tidak mengundi Umno, jurukempen Umno mengimbau masa silam peneroka sebelum menyertai Felda, mereka yang dahulunya hidup dalam kesusahan, tiada berharta dan tanah, kononya Umnolah yang memberi  peneroka kesenangan hidup sehingga sampai ke tahap kehidupan sekarang. Jasa Umno perlu dibalas dengan  menyokong parti itu.
 
“Itulah lagu dendangan Umno sejak zaman berzaman sehingga peneroka merasa bersalah jika tidak memenangkan parti itu,” ujar Hasenan.
 
Dalam PRU13 lalu, kekuatan paling menonjol bagi PAS di kawasan Felda dalam negeri Pahang  adalah di Felda Seroja (Jengka 18) iaitu PAS menang di lokaliti berkenaan semenjak tahun 1999 lagi.
 
Umno gagal mempengaruhi majoriti pengundi di Felda berkenaan, calon PAS yang bertanding disitu, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man terus mencapai kemenangan khususnya di peti undi Felda Seroja itu.  
 
Bagaimanapun kata Hasenan, faktor kekalahan PAS di kebanyakan rancangan Felda berpunca dari sikap pengundi atas pagar yang terpengaruh dan mempercayai janji –janji yang ditabur oleh jentera Umno.

Selain itu, harga komoditi juga mempengaruhi sokongan peneroka terhadap Umno/BN.
 
Justeru, harga komoditi kepala sawit dan getah biasanya akan melambung tinggi semasa pilihan raya dan harga akan merudum tidak lama selepas pilihan raya.
 
Bagaimanapun untuk mengatakan Umno/BN memanipulasi harga pasaran agak sukar untuk di buktikan. Namun yang pasti, kerajaan Umno/BN akan mengadakan pilihan raya umum ketika harga komoditi berada pada paras tinggi.    
 
Satu lagi faktor ialah peranan Felda semasa pilihana raya melalui kempen secara tidak langsung ia berkesan mempengaruhi sokongan peneroka kepada Umno/BN.
 
Antara yang dilakukan oleh agensi berkenaan ialah semasa kempen sedang berjalan rancak Felda akan membuat  pembayaran kepada peneroka (contohnya wang lebihan baja, kayu getah dan lain-lain) akan dibuat pembayaran semasa kempen pilihan raya.
 
Menurut Hasenan lagi, jentera pilihan PAS perlu proaktif untuk mengubah persepsi peneroka terhadap pembangkang khususnya PAS, menjelang pilihan raya akan datang.

Katanya PAS perlu menambah sokongan kepada 51 peratus undi untuk menggantikan Umno disemua kawasan yang ditandinginya, kekuatan yang ada sekarang belum membolehkan PAS menang di kawasan Felda.
 
“Hanya dengan perubahan minda, generasi baharu Felda sahaja yang mampu mengubah menteliti ahli Umno berubah menyokong PAS dalam pilihan raya akan datang,” ujarnya.
 
Jelas Hasenan, pihaknya sedang memperkemaskan jentera pilihan PAS di semua kawasan Felda supaya dalam PRU14 nanti, PAS mampu mengejutkan lawan dengan memenangi lebih banyak kerusi di kawasan Felda. – HARAKAHDAILY 1/3/2016

Share on Myspace