Hutan dan bukit di Pulau Pinang terus diteroka

SM MOHAMED IDRIS | .

Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan Pulau Pinang dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menyiasat kegiatan penerokaan di atas bukit dekat Titi Kerawang dengan segera.
 
Dalam tinjauan yang dibuat hari ini kami terkejut dengan keadaan bukit yang digondol itu dan merasa hairan bagaimana ia boleh berlaku dan apakah tujuan ia digondolkan.

Masalah serupa juga berlaku di lereng bukit berhadapan Rumah Peranginan Kerajaan Negeri Pulau Pinang di Batu Ferringhi di mana sebuah jentera sedang membuat kerja tanah yang melibatkan penolakan pokok di kawasan berkenaan.
 
Sehubungan itu kami juga meminta Jabatan Perhutanan dan Pejabat Tanah Daerah berkenaan turut melakukan siasatan di dua kawasan terbabit bagi memastikan kedudukan sebenar status tanah, tujuan kegiatan ini dan sama ada ia mendapat kelulusan dari pihak kerajaan atau sebaliknya.
 
Kami mendapati kesan penebangan di kawasan tersebut baru dilakukan dan tidak ada papan tanda atau notis pemberitahuan tentang apakah projek yang akan dilaksanakan di kawasan berkenaan.
 
Kami merasa bimbang dengan aktiviti ini kerana ia mengancam alam sekitar, menjejaskan kawasan tadahan air, boleh menyebabkan berlakunya hakisan, banjir di hilir dan pencemaran laut yang melibatkan kawasan pantai Batu Feringghi.
 
Kami berharap Kerajaan Pulau Pinang dan pihak berkuasa tempatan (PBT) memberi perhatian serius dan mengambil tindakan segera menghentikan aktiviti berkenaan sekiranya tidak mengikut undang-undang serta peraturan.  

Pihak berkuasa berkenaan juga perlu meningkatkan pemantauan di seluruh negeri Pulau Pinang untuk mengesan kegiatan penerokaan hutan dan pembangunan tanpa kebenaran dari awal lagi.
 
Hasil siasatan tentang aktiviti-aktiviti ini perlu diumumkan segera agar orang ramai tidak tertanya-tanya tentang apa yang sedang berlaku seperti mana persoalan yang diajukan kepada kami ketika tinjauan dibuat di kawasan terbabit.
 
Tidak ada maknanya kerajaan negeri dan tempatan menanam ribuan pokok di seluruh negeri, tetapi sebaliknya ribuan pokok lagi ditebang sewenang-wenangnya. - HARAKAHDAILY 1/3/2016

Penulis ialah Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM) & Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP).

Share on Myspace