Media propembangkang mula dijangkiti budaya fitnah

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Antara inti Budaya Politik Matang Dan Sejahtera (BPMS) yang dianjurkan oleh PAS ialah kesungguhan dan keupayaan menolak fitnah yang memanaskan bahang politik negara.

Demikian kata Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menerusi laman facebook.

Menurutnya, jika dulu media-media pro kerajaan begitu dikenali dengan budaya fitnah tetapi hari ini, ketika kekuatan semakin seimbang, media-media pro pembangkang juga mula dijangkiti penyakit dan virus yang sama.

"Keadaan ini amat malang untuk masa depan politik negara," ujarnya.

Beliau berkata, rakyat akan menjadi mangsa mudah pemain-pemain politik yang tidak berakhlak.

Katanya lagi, bertempur merebut kuasa dengan menjadikan rakyat sebagai bahan perjudian.

Sehubungan itu, ujar beliau BPMS menjemput rakyat untuk sama-sama menilai semua isu dan hingar bingar politik negara dengan penuh tenang, berhati-hati dan bertapis.

Menurutnya, ia adalah ajaran besar yang dianjurkan oleh agama.

Tambah beliau, sesiapa yang mengamalkannya, agamanya akan selamat dan agamanya akan menyelamatkannya.

"Api fitnah jangan dilayan. Ia akan padam sendiri jika semua memalingkan diri daripadanya," katanya yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas..

Beliau menambah, ia akan marak jika anda terus meniup dan menari di sekelilingnya.

"Usah kalut. Bina pendirian apabila anda sudah yakin.

"Jangan biarkan keyakinan kita disambar api fitnah yang diciptakan Allah untuk hati-hati yang lemah dan gagal berfungsi," katanya. - HARAKAHDAILY 1/3/2016

Share on Myspace