Tarik subsidi gandum, pengusaha kecil terjejas

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Di manakah slogan kerajaan "Mensejahterakan Kehidupan Rakyat" sewaktu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membentangkan Bajet 2016 tahun lepas apabila bertindak menarik subsidi gandum bermula 1 Mac (semalam).

Bercakap kepada Harakahdaily, Pengerusi Lajnah Pekerja dan Pengguna PAS Dr. Mohd Fuad Mohd Salleh menggesa kerajaan membatalkan penarikan balik subsidi ini kerana ia bukan sahaja menyusahkan pengguna malah pengusaha kecil-kecilan turut menerima kesan ini.

"Kerajaan dilihat tidak prihatin kepada golongan pekerja pertengahan dan bawahan serta golongan petani dan nelayan yang rata-rata berpendapatan kurang RM5,000 sebulan," katanya.

Malah beliau menyifatkan tindakan kerajaan itu amat tidak wajar dalam keadaan sebahagian pekerja diberhentikan, dikurangkan gaji dan sebagainya.

Penarikan subsidi ini, katanya akan menyebabkan  kenaikan harga makanan di pasaran dan sudah tentu akan menambah bebanan pengguna yang semakin dihimpit peningkatan kos ketika ini.

"Tindakan kerajaan menarik balik subsidi antara RM600 hinga RM800 bagi setiap satu tan metrik hanya akan mengurangkan bebanan kerajaan sebanyak RM89 juta setahun (seperti tersiar di laman pmr.penerangan.gov.my)," tambah beliau.

Jelasnya, keputusan kerajaan menarik balik subsidi tepung (pek 25 kg) akan memberi kesan besar dalam industri makanan berasaskan tepung seperti, roti (termasuk roti canai), kek, kuih-muih dan berbagai makanan berasaskan tepung.

Namun bagi pengusaha kecil, mereka mungkin masih boleh membeli tepung dalam kampit kecil (1kg) yang masih dijual pada harga subsidi.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Alias Ahmad berkata, subsidi bagi tepung gandum kegunaan am dalam pek 25 kilogram ditarik semula mulai Selasa.

"Langkah penarikan balik subsidi ini diambil kerana kebanyakan pengguna mahupun isi rumah tidak membeli tepung bersaiz tersebut," katanya dalam satu kenyataan di sini. – HARAKAHDAILY 2/3/2016

Share on Myspace