Benarkah gaji pekerja asing kecil?

AZIZ MUDA | .

KUALA LUMPUR: Pihak Kerajaan Umno-BN didesak supaya melakukan penyelidikan dan pemantauan yang lebih terperinci dan menyeluruh terhadap gaji pekerja asing di negara ini yang dikatakan lebih rendah berbanding pekerja tempatan, sehingga mendorong kerajaan untuk membawa masuk 1.5 juta pekerja Bangladesh dalam tempoh tiga tahun pada masa akan datang.

Tinjauan rambang yang dilakukan oleh pelbagai pihak mendapati gaji pekerja asing di negara ini tidaklah serendah yang didakwa oleh pihak majikan, sebaliknya sesetengahnya jauh lebih tinggi berbanding gaji pekerja tempatan walaupun mereka masih baru bekerja di tempat-tempat terbabit berbanding pekerja tempatan sendiri.

Timbalan Presiden PAS, Ustaz Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pihak kerajaan tidak sepatutnya begitu mudah terpengaruh dengan alasan pihak majikan berhubung perkara itu dalam desakan mereka terhadap kerajaan untuk membawa masuk pekerja-pekerja asing di negara ini, apatah lagi dalam jumlah yang besar, kerana realitinya tidak seperti yang didakwakan itu.

Menurut beliau, walaupun terdapat gaji pekerja asing yang lebih rendah daripada gaji pekerja tempatan tetapi jumlahnya tidak seberapa, berbanding jumlah keseluruhannya yang sememangnya turut menerima gaji yang agak besar seperti juga gaji pekerja-pekerja tempatan seperti yang diceritakan oleh pihak-pihak tertentu kepadanya.

Katanya, malah di sesetengah tempat atau perusahaan terdapat pula diskriminasi oleh pihak majikan terhadap pekerja tempatan, apabila pekerja asing pula yang diberikan peluang kenaikan pangkat menjadi supervisor dan sebagainya dengan begitu mudah berbanding pekerja tempatan.

"Apabila dinaikkan pangkat, mereka pasti menerima gaji lebih besar daripada pekerja tempatan, malah pekerja tempatan pula yang berada di bawah mereka," katanya ketika dihubungi hari ini.

Selain itu, menurut beliau, sesetengah majikan yang mempunyai kilang perusahaan pula kini begitu mudah membuang pekerja tempatan untuk digantikan dengan pekerja asing bagi mengaut keuntungan yang lebih besar atas alasan pekerja-pekerja asing berkesanggupan bekerja dengan mereka walaupun dengan gaji yang rendah.

Katanya, sesetengah majikan pula tidak membuang pekerja-pekerja tempatan tetapi dikenakan tekanan tertentu supaya pekerja-pekerja terbabit akan berhenti dengan sendirinya untuk digantikan dengan pekerja-pekerja asing.

"Ini turut berlaku di Pahang, selain di beberapa tempat lain di seluruh negara. Semuanya itu diceritakan oleh beberapa pihak kepada saya. Jadi kita harap pihak kerajaan dapat melakukan penyelidikan dan pemantauan yang lebih menyeluruh berhubung perkara ini supaya dapat disusuli dengan tindakan yang sewajarnya bagi kepentingan pekerja tempatan," ujar beliau.

Kemasukan pekerja asing ke negara ini, menurut Ustaz Tuan Ibrahim, terutama dengan jumlah yang besar sehingga 1.5 juta orang seperti yang dicadangkan itu, di samping 6 juta orang yang sudah ada, pasti akan menimbulkan pelbagai implikasi kepada rakyat dan negara ini.

"Ia akan mengurangkan lagi peluang pekerjaan kepada pekerja-pekerja tempatan dan pasti akan mempertingkatkan lagi jumlah pengangguran di negara ini. Selain itu, ia pasti akan mendatangkan kesan buruk dari segi sosial, kesihatan dan budaya," katanya.

Beliau berkata, kerajaan yang baik adalah kerajaan yang lebih mengutamakan rakyat sendiri daripada pekerja-pekerja asing, tetapi kerajaan Umno-BN sanggup mengenepikan kepentingan dan hak rakyat sendiri demi memenuhi tuntutan para majikan untuk mengaut keuntungan berganda. – HARAKAHDAILY 2/3/2016

Share on Myspace