Kecewa dalam SPM, cemerlang dalam STPM

BERNAMA | .

MELAKA: Muhammad Redzuan Rahim merasa amat bersyukur kerana walaupun dia kurang berjaya dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), namun dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2015, dia berjaya mencapai keputusan cemerlang sehingga muncul sebagai pelajar cemerlang Melaka dalam aliran Sastera.
    
Dia memproleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 pada STPM dan sekadar 4 A dalam SPM.
    
"Kesilapan memilih aliran Sains Tulen yang saya kurang minati ketika di Tingkatan Empat, Sekolah Menengah Teknik Melaka memberi kesan kepada keputusan SPM yang saya diduduki pada 2013.
    
"Keputusan SPM itu membuka mata saya dan menyedarkan bahawa saya tidak seharusnya mengambil aliran Sains kerana minat sebenarnya saya ialah pada aliran Sastera," kata anak sulung daripada dua beradik ini.
    
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Munshi Abdullah ini berkata kegagalan untuk memperoleh keputusan cemerlang pada SPM menjadi pendorong kepadanya untuk belajar bersungguh-sungguh bagi mengubah masa hadapannya.
          
Muhammad Redzuan berkata ekoran keputusan SPM itu, dia mendapat tawaran peringkat kedua bagi melanjutkan pelajaran peringkat matrikulasi tetapi memilih untuk menyambung pelajaran di Tingkatan Enam.
    
Anak pasangan Rahim Jantan, 67, dan Saripah Abdul Hamid, 44, ini berkata selain minat, penumpuan terhadap subjek yang diajar di dalam kelas menjadi faktor kejayaannya.
    
Dia juga sering merujuk kepada guru sekiranya tidak memahami subjek yang diajar dan turut belajar secara berkumpulan.
    
Sementara itu seorang lagi pelajar terbaik negeri dari Sekolah Menengah Kebangsaan Munshi Abdullah, Yee Qing Xuan, 20, berkata kekecewaannya tidak mendapat tawaran melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi walaupun mendapat keputusan cemerlang 11 A dalam SPM tidak mematahkan semangatnya untuk terus melakukan yang terbaik pada STPM sehingga memperoleh PNGK 4.00 dalam aliran Sains.
    
Anak sulung daripada tiga beradik ini berkata kejayaan yang diperolehnya merupakan hadiah kepada bapanya Yee Yeen Hwa, 50, dan ibunya Hong Siok Tee, 45, yang telah bersusah payah membesarkannya dan adik-adiknya.
    
"Ayah saya hanya bekerja sebagai buruh dan ibu mengambil upah menjaga anak jiran. Saya berazam untuk mengubah nasib keluarga dan ingin memberi kesenangan kepada mereka pada masa hadapan," katanya. - Bernama

Share on Myspace