Pelan catuan air peringkat kedua Lembah Klang palsu

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Permodednan Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Selangor, Zaidy Abdul Talib mengesahkan tiada sebarang catuan air dilakukan Air Selangor setakat ini.

Beliau berkata, penyebaran berita berkenaan Pelan Catuan Air Peringkat Kedua Lembah Klang bermula 2 Mac hingga 31 Mac di beberapa kawasan adalah palsu.

“Berita terbabit sebenarnya dikeluarkan semasa catuan pada 2014 dahulu.

“Diharapkan rakyat Selangor yang mendapat sebaran berita ini boleh memberhentikannya dan maklumkan juga ia adalah berita palsu,” katanya dipetik Selangor Kini.

Laporan catuan air di Kuala Lumpur, Gombak, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor dan Hulu Selangor yang menjadi viral sejak semalam mencetuskan kebimbangan kepada rakyat di negeri itu.

Pada masa sama, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) melalui Ketua Komunikasi Korporatnya, Amin Lin Abdullah turut menafikan sebaran berita berkenaan.

Sebaliknya pengguna dinasihatkan mendapatkan sebarang maklumat terkini di laman sesawangnya, www.syabas.com.my.

Share on Myspace