Pertahan pesawah, padi negara - Pemuda PAS Kedah

AHMAD TARMIZI SULAIMAN | .

Dewan Pemuda PAS Kedah menyokong kuat usaha Kongres Rakyat yang menganjurkan Himpunan Pesawah pada 5 Mac ini.

Himpunan berkenaan akan menghimpunkan semua aktivis sosial, NGO, ahli politik, pemimpin tempatan dan para pesawah untukenyuarakan hasrat dan perasaan mereka berkaitan masa depan jelapang padi negara dan juga nasib para pesawah yang rata-rata daripada kalangan bumiputera.

Himpunan akan diadakan di Dataran Kerpan Ayer Hitam Kedah pada hari Sabtu bermula jam 5 petang dan ini adalah himpunan bagi peringkat Zon Utara.

Dengan bahana TPPA yang telah termeterai, nasib para pesawah sememangnya dijangka bagai nyawa dihujung tanduk.

Secara khusus, para pertani berdepan kemungkinan hilang pendapatan apabila beras gred lebih tinggi dari negara lain dijual pada harga setara dengan beras keluaran negara ini.

Secara praktikal keperluan penduduk negara ini terhadap makanan ruji itu tentunya akan mengalih pilihan kepenggunaan mereka kepada tawaran lebih bernilai.

Isu tanah sawah yang kian berkurangan akibat perubahan syarat tanah, tebus tanah dan sebagainya, isu yang menjadi viral sekarang adalah isu padi tempatan yang tidak laku berbanding padi import.

Beberapa NGO seperti Mapim, MTEM dan sebagainya kini giat bersuara dan Pemuda PAS Kedah tidak ketinggalan untuk bersama memobilasi tenaga untuk menyokong perjuangan ini.

Isu lambakan padi tempatan bermula tahun lepas sebelum TPPA termeterai lagi dan domino kebejatan terhadap pesawah telah kian terserlah.

Isu penswastaan dan monopoli BERNAS juga menjadi petaka bagi kaum pesawah bumiputera. Lembaga berkaitan masa depan padi dan pesawah perlu diwujud semula dan Pemuda PAS Kedah menyokong jika kerajaan serius melaksanakannya.

Setelah Padiberas Nasional Berhad (Bernas) diswastakan dan LPN dibubarkan, jumlah kilang Melayu telah berkurangan dari 196 ke 23 buah sahaja.

Bernas yang bersifat korporat kapitalis semestinya tidak mengambil berat kebajikan dan survival para pesawah berbanding lembaga yang ditubuhkan kerajaan sendiri.

Dewan Pemuda PAS Kedah menyeru para anak muda, aktivis, ahli politik dan NGO agar menyertai himpunan anjuran Kongres Rakyat kali ini. Bersama membela pesawah dan bekalan makanan negara! - HARAKAHDAILY 3/3/2016

Penulis ialah Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Kedah.

Share on Myspace