Akta Bahasa Kebangsaan lulus, PAS bangkang (1967)

HARAKAHDAILY | .

AKTA BAHASA KEBANGSAAN LULUS DENGAN BANGKANGAN PAS (3 MAC 1967)

PADA hari ini dalam tahun 1967, Dewan Rakyat telah meluluskan Akta Bahasa Kebangsaan 1967 dengan bangkangan kuat daripada PAS.

PAS sejak awal tidak bersetuju dengan akta ini kerana kegagalan Umno menunaikan janji mereka untuk mendaulatkan bahasa Melayu.

Akta Bahasa Kebangsaan 1967 telah dibentangkan di Dewan Rakyat pada 23 Februari 1967 oleh Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra dengan tujuan untuk memantapkan kedudukan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan setelah genap 10 tahun mencapai kemerdekaan. Akta ini akan berkuat kuasa mulai 1 September 1967.

Walau bagaimanapun, PAS telah menyifatkan akta ini sebagai memungkiri janji Tunku Abdul Rahman Putra dalam Mesyuarat Agung Umno pada 4 Jun 1955 yang mahu menjadikan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan bahasa rasmi sepenuhnya dalam tempoh 10 tahun selepas merdeka.

Tunku Abdul Rahman telah berjanji supaya semua urusan rasmi dalam pentadbiran dan pendidikan akan menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya setelah 10 tahun bahasa Inggeris turut digunakan dalam pentadbiran.

PAS telah mengkritik akta 11 fasal ini tentang:

I. Kebenaran untuk kerajaan menggunakan bahasa kaum-kaum lain dalam urusan rasmi;
II. Kebenaran untuk menggunakan bahasa Inggeris dalam apa-apa urusan rasmi yang difikirkan patut;
III. Kebenaran untuk bahasa Inggeris digunakan di Parlimen dan Dun;
IV. Kebenaran penggunaan bahasa Inggeris dalam teks undang-undang;
V. Kebenaran untuk undang-undang bertulis sebelum 1 September 1967 menggunakan bahasa Inggeris;
VI. Kebenaran menggunakan bahasa Inggeris di mahkamah;
VII. Akta hanya berkuat kuasa di Semenanjung sahaja, tidak di Sabah dan Sarawak; dan
VIII. Menukarkan tulisan Jawi dengan tulisan Rumi.

Dengan kelonggaran akta ini, pada pandangan PAS, Tunku Abdul Rahman adalah seorang pemimpin yang terlalu tunduk kepada desakan orang bukan Melayu.

Ketika membahaskan Rang Undang-undang Bahasa Kebangsaan 1967 pada 2 Mac 1967, Yang Dipertua Agung PAS, Dato' Mohd Asri Haji Muda telah menyifatkan tindakan Kerajaan Perikatan ini sebagai "tambahan dosa dan jenayah politik Umno terhadap bangsa Melayu".

Sebelum ini, Umno menuduh PAS sebagai pengkhianat negara kerana isu Konfrantasi Indonesia, tetapi kini PAS mengembalikan paku buah keras kepada Umno. Ucapan Dato' Mohd Asri di Parlimen ini diterbitkan dengan tajuk 'Rakyat Menggugat.'

Walaupun akta ini ditentang hebat oleh PAS, pada 3 Mac 1967, ia telah diluluskan oleh Dewan Rakyat untuk digabungkan dengan Akta Bahasa Kebangsaan 1963, yang menyebabkan PAS pada 6 Ogos 1967 telah mengemukakan usul di Parlimen melalui Ustaz Abu Bakar Hamzah untuk menjadikan Melayu sebagai rupa bangsa bagi Malaysia.

Kesan terbesar akta ini ialah terhapusnya tulisan Jawi dari sistem pendidikan negara.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
3 Mac 2016 - HARAKAHDAILY 3/3/2016

Share on Myspace