Pencapaian akademik Perak membimbangkan

ZULHAFEEZ AHMAD ZAHIDI | .

IPOH: Kerajaan Negeri Perak perlu segera memperhalusi dan merencana strategi pengukuhan akademik para pelajar negeri itu dengan lebih tersusun dan dinamik.

Ia berikutan peratusan kelulusan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) melibatkan pelajar Perak yang semakin menurun.

Kebimbangan itu disuarakan Dewan Pemuda PAS Negeri Perak terhadap keputusan STPM yang diumumkan pada 2 Mac baru-baru ini.

Ketua Pemuda PAS Perak, Ustaz Mohd Akmal Kamaruddin berkata, tahun sebelumnya pelajar lulus di negeri itu adalah sebanyak 98.01 peratus yakni peningkatan 0.8 peratus berbanding tahun 2013.

Tetapi katanya, keputusan tahun 2015 menyaksikan penurunan sebanyak 0.59 peratus.

"Jika dilihat kepada jumlah mendapat A dalam semua mata pelajaran juga terus mengalami penurunan. Sebanyak 0.14 peratus iaitu seramai 49 orang mendapat A dalam semua mata pelajaran berbanding tahun 2014 seramai 53 orang dan tahun 2013 seramai 69 orang.

"Trend penurunan ini bukanlah satu perkhabaran baik buat negeri Perak yang ingin melahirkan lebih ramai golongan cerdik pandai dalam bidang akademik," luahnya kesal.

Katanya, bantuan dan sokongan harus diberikan kepada guru dan sekolah demi memastikan generasi muda Perak terkehadapan dalam bidang akademik.

Mewakili Pemuda PAS Perak beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua pelajar atas usaha gigih mengharungi peperiksaan tersebut terutamanya 52 calon yang mendapat lulus lima Prinsipal.

Menurutnya, kejayaan tersebut menjadi penentu kegemilangan Perak kerana merekalah bakal pemimpin masa depan negeri dan negara.

Seramai 4,116 calon sekolah kerajaan telah menduduki peperiksaan STPM di Perak bagi tahun 2015, - HARAKAHDAILY 3/3/2015

Share on Myspace