Muhyiddin, Mukhriz, Shafie umum kekal dalam Umno

BERNAMA | .

m

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hari ini umum terus kekal dalam Umno walaupun Tun Dr Mahathir Mohamad keluar daripada parti itu.
    
Muhyiddin, Ketua Umno Bahagian Pagoh memilih untuk terus kekal dalam parti itu kerana mahu memperbetulkan parti dari dalam.
    
"Saya tidak ada locus standi lagi untuk menegur Umno sekiranya saya keluar dari UMNO," kata Muhyiddin pada sidang media di sini.
    
Mukhriz, bekas Menteri Besar Kedah dan juga Ketua Umno Bahagian Jerlun, dan Shafie, Naib Presiden Umno yang turut hadir pada sidang media itu menyatakan pendirian yang sama berhubung kedudukan mereka dalam parti.
    
"Pendekatan berbeza (dengan bapanya Dr Mahathir) tapi prinsipnya sama," kata Mukhriz.
    
Shafie pula berkata: "Tidak timbul soalan saya meninggalkan parti,"
    
Isnin lepas, Dr Mahathir mengumumkan keluar dari Umno buat kali kedua, kerana tidak berpuas hati dengan kepimpinan tertinggi parti.
    
Mengulas mengenai keputusan Majlis Tertinggi Umno menggantungnya sebagai timbalan presiden Umno baru-baru ini, Muhyiddin berkata beliau akan merujuk kesnya itu kepada Pendaftar Pertubuhan untuk mendapat jawapan sama ada penggantungan itu sah atau tidak.
    
Beliau mendakwa penggantungannya itu tidak mengikut tatacara dan perlembagaan parti serta beliau tidak diberi peluang untuk membela diri.
    
Muhyiddin mendakwa beliau tidak ada konspirasi untuk menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak seperti yang dikatakan oleh pemimpin lain. - Bernama

Share on Myspace