Muhyiddin mesti lebih berani untuk selamatkan Malaysia

HARAKAHDAILY | .

PAS Negeri Johor melihat dengan penuh teliti keputusan yang telah dibuat oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSMY) yang diumumkan oleh beliau sebentar tadi.

Pengisytiharan beliau terus kekal dalam Umno adalah merupakan satu keputusan yang telah dijangkakan kerana beliau tidak berani untuk melakukan perubahan walaupun telah melihat dan merasai sendiri kezaliman dan ketidakadilan yang telah dibebankan ke atas beliau sebagai Timbalan Presiden Umno dan mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia.

TSMY sebelum ini telah membuat satu kenyataan media yang telah dikeluarkan pada 27 Februari 2016 selepas digantung sebagai Timbalan Presiden Umno telah memberikan gambaran betapa korup dan rosaknya kepimpinan tertinggi Umno pada masa ini.

Akibat daripada rendahnya integriti kepimpinan Umno yang menerajui kepimpinan negara, maka ia juga menjejaskan kestabilan politik dan ekonomi negara.

TSMY juga menyebut bahawa Jabatan Peguam Negara, SPRM, Bank Negara dan Polis Diraja Malaysia mesti dipastikan bebas untuk menjalankan fungsi masing-masing tanpa diganggu-gugat oleh sesiapapun dengan mengingatkan agar kuasa Perdana Menteri dalam pelantikan ketua-ketua agensi ini mesti dihadkan untuk membolehkan mereka bertindak secara bebas dan telus.

Ini membuktikan bahawa TSMY mengakui bahawa institusi-institusi ini dikuasai oleh Perdana Menteri.

PAS Negeri Johor melihat bahawa Umno telah hilang integriti dan maruah sebagai parti yang mampu membela nasib dan masa hadapan rakyat Malaysia.

Jika TSMY mahu melihat Malaysia kembali menjadi sebuah negara yang dihormati dan rakyat menikmati kehidupan yang lebih sejahtera, maka beliau mestilah bersedia untuk bersama-sama menuntut perubahan.

Dengan hanya berjuang di dalam Umno untuk membuat perubahan maka ia menunjukkan beliau takut dan tidak yakin.

Seperti mana yang disebut oleh Presiden PAS iaitu PAS tidak anti kepada ahli Umno, maka PAS Johor bersedia untuk bertemu dengan beliau bagi membincangkan perkara-perkara yang berkaitan dengan masa hadapan politik negara dengan syarat untuk menjatuhkan Umno dalam pilihan raya umum yang akan datang jika beliau benar-benar ingin membuat perubahan dan menyelamatkan Malaysia.
 
DATUK DR MAHFODZ MOHAMED
Pesuruhjaya PAS Negeri Johor
23 Jamadil Awal 1437 bersamaan 03 Mac 2016 - HARAKAHDAILY 3/3/2016

Share on Myspace