Bekas editor buku Harakah hidapi barah

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Biarpun disahkan doktor diserangi penyakit barah usus, namun bekas editor Unit Buku Harakah, Mohd Nasir Awang, 51, tabah menghadapi dugaan tersebut.

Beliau juga sedang menjalani rawatan kimoterapi di Hospital Raja Zainab Perempuan II, di sini sejak Oktober tahun lepas. Sekarang melengkapi pakej enam rawatan tersebut yang diadakan tiga minggu sekali.

Ditemui di hospital berkenaan petang semalam beliau yang ditemani isteri memberitahu berada di wad semalaman bagi menjalani rawatan kimoterapi.

“Setiap kali rawatan antara dua hingga tiga jam. Terasa panas seluruh badan akibat kesan ubat yang dimasukkan ke dalam badan bagi mematikan sel-sel barah yang menjangkiti organ lain.

“Kali ini merupakan pusingan keenam saya menjalani rawatan tersebut,” ujarnya yang kelihatan tenang selepas diduga dengan ujian berat terbabit.

Badannya kelihatan agak susut, namun masih ceria berkongsi kisah kehidupannya selepas disahkan menghidapi barah usus.

Mohd Nasir berkhidmat di Harakah bermula sebagai penyunting rencana pada 1990 selepas menamatkan pengajian bidang ekonomi di Amerika Syarikat.

Beliau sekarang tinggal di Kampung Air Tawar Besut, pernah juga berkhidmat sebagai pegawai penyelidik di pejabat Badan Perhubungan PAS Terengganu.

Kerjaya akhir sebagai Ketua Editor Majalah Dian. Pernah juga menghasilkan tiga buku mengulas isu politik tanah air. - HARAKAHDAILY 3/3/2016

Share on Myspace