AMK bantu PAS pertahan Kelantan

ASLANI M | .

TANAH MERAH: Angkatan Muda KeADILan (AMK) bersama Pemuda PAS berusaha mempertahankan Kelantan sebagai kesinambungan perjuangan ditinggalkan arwah Tok Guru Nik Abdul Aziz.

Ketuanya Dr Hafidz Rizal berkata AMK tetap mempertahankan kerajaan yang ada sekarang warisan peninggalan Tok Guru.

“Kita berusaha mempertahankan kerajaan yang ada hari ini di bawah kepimpinan ulama. Hendaklah kita berjuang kerana Allah.

“PKR dan PAS di Kelantan sebuah organisasi yang mantap. Kita hendaklah korbankan masa untuk sama-sama mempertahankan Kelantan.

“Kami mengharap anak-anak muda bangkit bagi mencapai hasrat tersebut,” katanya pada ceramah sempena pelancaran Anak Muda Pertahan Kelantan (Pertahan) malam tadi.

Program itu diadakan di Markas Tarbiyah Tanah Merah (MATTAM). Pelancaran Pertahan dilakukan Menteri Besar Ustaz Datuk Ahmad Yakob.

Hadir sama Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Abdullah, Ketua Pemuda PAS Kelantan Ahmad Fadhli Shaari, Yang Dipertua PAS Tanah Merah, Datuk Abdul Fattah Mahmood dan timbalannya Mejar (B) Datuk Md Anizam Abd Rahman.

Ribuan penduduk tempatan memenuhi perkarangan MATTAM bagi mengikut ceramah pelancaran Pertahan.

Dr Hafidz juga berkata doa wehdah yang menjadi amalan pejuang Islam sebelum ini menjadi kenyataan apabila Umno semakin teruk berpecah.

“Tun Dr Mahathir Mohamad pengasas Umno Baru kini sekali lagi mengumumkan keluar parti itu. Inilah antara kesan doa yang kita amalkan,” ujarnya.

Menurutnya juga Pakatan Rakyat yang dipertahankan di Kelantan dan Selangor berusaha untuk menukar kerajaan di Putrajaya bagi memastikan bebanan rakyat angkara GST dimansuh pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Ahmad Fadhli pula berkata Pemuda PAS dengan gandingan padu AMK akan berusaha untuk merampas semula Parlimen Tanah Merah dan Dun Gual Ipoh pada PRU akan datang.

“Betapa perlunya gerak kerja yang selari dengan arahan parti dalam usaha mempertahankan kerajaan negeri di bawah dasar Membangun Bersama Islam,” kata Ustaz Ahmad.

Pada program itu Ustaz Ahmad yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri menyerahkan bendera dan logo Pertahan kepada wakil pemuda PAS setiap kawasan di Kelantan. - HARAKAHDAILY 3/3/2016

Share on Myspace