PAS tidak setuju hapus subsidi tepung 25 kg

HARAKAHDAILY | .

PAS tidak bersetuju malah membantah tindakan kerajaan memotong subsidi tepung gandum 25 kg yang telah berkuatkuasa pada 1 Mac yang lalu.

Tindakan pemotongan perbelanjaan kerajaan dengan mengorbankan kepentingan rakyat membuktikan slogan kerajaan, Rakyat "diutamakan" disalah ertikan. Ia akan membawa maksud rakyat terlebih dahulu menjadi "mangsa korban" pihak kerajaan dalam tindakan yang diambil.

Tambahan pula, alasan yang dinyatakan pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) tidak menampakkan penelitian yang menyeluruh terhadap tindakan yang diambil dengan pemotongan subsidi tepung gandum. Tindakan tersebut boleh disifatkan sebagai "separuh masak".

Meskipun pemotongan subsidi hanya melibatkan produk tepung gandum 25 kg, tidak kepada produk bersaiz 1 kg yang banyak digunakan oleh isi rumah, kesan kepada kenaikan harga barang daripada rantaian terbabit tidak mustahil akan berlaku.

Masyarakat miskin di luar bandar akan terus menjadi mangsa. Begitu juga pemain industri kecil dan sederhana yang sudah pasti terkesan dengan langkah tersebut.

PAS ingin menegaskan bahawa sebarang bentuk polisi daripada pihak kerajaan tidak seharusnya meminggirkan keperluan rakyat walau apa cara sekalipun.

PAS juga menggesa kerajaan meneliti semula langkah pemotongan subsidi ini dan tidak terburu-buru mengambil "jalan pintas" dalam memotong perbelanjaan negara.

Langkah pemotongan perbelanjaan (austerity) seperti penghapusan subsidi semata-mata untuk menghadapi situasi ekonomi yang gawat ini adalah tidak lagi relevan untuk diimplimentasi.

NASRUDIN HASSAN
Ketua Penerangan PAS Pusat - HARAKAHDAILY 3/3/2016

Share on Myspace