Bubar parlimen langkah terbaik hadapi krisis

HARAKAHDAILY | .

DEWAN Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyokong pandangan dikeluarkan oleh PAS Pusat melalui kenyataan Setiausaha Agung, Dato Haji Takiyuddin Hassan yang mencadangkan agar Parlimen Malaysia dibubarkan bagi memberikan laluan kepada satu pilihan raya umum di negara ini.

Ia adalah langkah terbaik bagi menyerahkan semula mandat rakyat bagi menggantikan Kerajaan Pusat yang hari ini telah terpalit dengan pelbagai skandal dan kelemahan.

Hari ini dengan pelbagai isu ekoran kegawatan ekonomi, isu 1MDB (1 Malaysia Development Berhad), isu derma RM2.6 billion, kejatuhan nilai mata wang negara dan yang terbaru ialah dakwaan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin bahawa beliau telah ditunjukkan bukti terhadap jenayah didakwa dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, ia benar-benar meresahkan rakyat di negara ini.

Perlu diingatkan bahawa rakyat berhak mempunyai sebuah kerajaan yang lebih baik dan stabil untuk menyelesaikan segala permasalahan ini.

Walaupun tempoh parlimen dengan sendirinya boleh terbubar setelah genap tempoh masa lima (5) tahun, tetapi akibat masalah kegawatan yang berlaku tanpa kawalan hari ini, pembubaran parlimen adalah merupakan satu langkah yang terbaik dan berkesan di dalam menangani kemelut berpanjangan ini.

Langkah membubarkan parlimen apabila menghadapi krisis kepercayaan bukanlah satu perkara yang baru dalam amalan demokrasi di dunia ini. Pada tahun 2001, Presiden Sri Lanka pada masa itu, Chandrika Kumaratunga pernah membubarkan Parlimen sekali gus mengarahkan supaya pilihan raya terbaru diadakan selepas menghadapi krisis kepercayaan daripada sebahagian anggota parlimen.

Di Jepun pada bulan November 2014, Perdana Menterinya, Shinzo Abe pernah membubarkan Dewan Rendah Parlimen Jepun secara mengejut bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum bulan berikutnya  dalam usaha mendapatkan mandat baharu terhadap kerajaannya setelah dihimpit skandal, sekali gus mencapai matlamat dasar yang dirangka. Ia dilakukan hanya selepas dua tahun Shinzo Abe menjadi Perdana Menteri.

Demikian juga di Thailand, pada Disember 2013, Perdana Menterinya pada masa itu, Yingluck Shinawatra mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat sekali gus memberi laluan kepada pilihan raya di negara itu bagi menenangkan krisis politik yang semakin parah.

Yingluck menunjukkan ‘kejantanannya’ mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat sekaligus mencabar penentangnya untuk berhadapan di dalam pilihan raya secara demokrasi dan bukannya melalui jalan raya.

Justeru, DPPM menuntut agar Perdana Menteri yang juga Presiden Umno menyedari denyut nadi rakyat yang semakin tertekan dengan segala bebanan hidup dan krisis di dalam kerajaan akibat daripada pertembungan dalaman Umno.

Di bawah Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan kuasa pembubaran Parlimen hanya kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri sewajibnya mengadap dan mengemukakan cadangan ini untuk diperhalusi oleh Baginda.

Kegagalan Perdana Menteri untuk bertindak menasihati Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong terhadap urusan ini hanya akan menambahkan lagi masalah yang sedang berlaku di negara ini. Rakyat akan terus menerus dihimpit oleh pelbagai tekanan hidup, manakala imej pimpinan negara semakin merudum dengan pelbagai skandal yang berlaku.

AHMAD FADHLI SHAARI
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS MalaysiaHARAKAHDAILY 3/3/2016

Share on Myspace