Kursus Marxisme, tindakan PDRM disokong

MOHAMAD FAROUK HAMZAH | .

MEDIA sosial hari ini gempar seketika apabila "tweet" daripada Ketua Polis Negara bertarikh 28 Februari 2016 dengan menyatakan tindakan beliau untuk menyekat Kursus Marxisme yang kini sedang viral sekaligus menaikkan kemarahan umum. Akhbar Sinar Harian juga telah memaparkan petikan kata-kata beliau yang berbunyi "Polis tidak akan membenarkan kursus ini. Pihak penganjur akan dipanggil".

Sila rujuk, http://www.sinarharian.com.my/mobile/semasa/kpn-sekat-cubaan-sebar-fahaman-komunis-1.490521

Terkejut dengan tindakan Ketua Polis Pegara ini, S. Arutchelvan merangkap AJK Pusat PSM yang merupakan penganjur kepada kursus ini turut mengeluarkan kenyataan. Beliau mempertahankan penganjuran kursus ini dengan menegaskan bahawa, kursus ini merupakan kritikan Karl Marx tentang sistem ekonomi kapitalis dan ia adalah program umum bukanlah kursus yang bersifat bawah tanah.

GAMIS dengan tegasnya sangat menyokong sepenuhnya tindakan yang diambil oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) iaitu menyekat kursus yang difahamkan akan di adakan di Dewan Budaya Petaling Jaya, pada 20 Mac ini.

Pengasas Komunisme, Karl Marx pernah berkata "Agama adalah candu kepada bangsa". Dan diantara kata-kata tokoh mereka yang lainnya Lenin "Golongan kami tidak berpegang pada pengangan agama negatif, agama adalah khurafat dan bodoh".

Stalin pula pernah mengungkapkan "Kami tidak mempercayai Tuhan. Kami percaya, beriman kepada Allah SWT adalah khurafat. Kami percaya agama dapat merosakan tamadun kami. Kami juga tidak mahu agama mengawal kami dan kami tidak mahu menjadi orang yang mabuk". Maka, sudah jelaslah, ia akan menghadirkan kekeliruan buat masyarakat, khususnya para anak muda Islam yang ada pada hari ini.

Hari ini, kita melihat dasar-dasar komunisme dan dasar-dasar komunis antarabangsa mewajibkan pengikutnya menjadi "atheis" dan menyebarkan dakwah yang berlawanan dengan ajaran agama Islam. Mereka juga, menolak golongan yang mengamalkan syiar Islam serta tindakan mereka melarang mana-mana negara komunis untuk berkhidmat dengan negara yang berpegang pada ajaran Islam.

Syeikh Dr Yusof Al-Qardhawi , Pengerusi Kesatuan Ulamak Sedunia telah menggariskan bahawa menurut hukum, siapa yang berfahaman komunisme adalah "زنديق" (zindiq). Iaitu golongan yang menzahirkan keimanan mereka tetapi hakikatnya kafir dan ingin mghancurkan Islam. Firman Allah SWT menerusi Al-Quran :

 وَلَا يَزَالُونَ يُقَاتِلُونَكُمْ حَتَّىٰ يَرُدُّوكُمْ عَن دِينِكُمْ إِنِ اسْتَطَاعُوا ۚ وَمَن يَرْتَدِدْ مِنكُمْ عَن دِينِهِ فَيَمُتْ وَهُوَ كَافِرٌ فَأُولَٰئِكَ حَبِطَتْ أَعْمَالُهُمْ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ ۖ وَأُولَٰئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ ۖ هُمْ فِيهَا
خَالِدُونَ

"Mereka tidak henti-hentinya memerangi kamu sampai mereka (dapat) mengembalikan kamu dari agamamu (kepada kekafiran), seandainya mereka sanggup. Barangsiapa yang murtad di antara kamu dari agamanya, lalu dia mati dalam kekafiran, maka mereka itulah yang sia-sia amalannya di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya".

(Surah Al-Baqarah, ayat 217)

Mohon JAKIM, Jabatan Mufti dan Institusi agama yang lain memainkan peranan bagi membenteras penularan ideologi sesat yang kian menular pada hari ini. GAMIS sedia bersama-sama dengan setiap institusi yang serius dalam menangani ideologi  yang semakin dizahirkan oleh golongan-golongan yang beragenda songsang. – HARAKAHDAILY 4/3/2016

Penulis ialah Pengerusi Majlis Penerangan & Informasi Pusat, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia

Share on Myspace