PAS tuntut pilihan raya, jalan terbaik selesai masalah

HARAKAHDAILY | .

TUNTUTAN PAS agar Parlimen dibubar dengan segera dan satu pilihan raya umum diadakan merupakan jalan yang terbaik untuk menyelesaikan masalah yang membelenggu negara.

Kepimpinan negara telah terpalit dengan pelbagai skandal seperti 1MDB, SRC dan pelbagai kontroversi-kontroversi lain maka perlu diganti demi kesejahteraan rakyat.

Pada hakikatnya rakyat tidak percaya dengan pelbagai penjelasan yang diberikan walaupun pentadbiran Umno-Barisan Nasional cuba mendakwa bahawa ia diterima oleh rakyat.

Pilihan raya umum dan kerajaan baru yang akan dibentuk selepasnya akan dapat memulihkan imej negara kerana ia dapat memberi peluang kepada rakyat untuk membersihkan kerajaan daripada mereka yang menjadi bebanan kepada negara.

Imej negara telah terus tercalar di luar negara dan rakyat Malaysia yang keluar negara kerap dihujani dengan pelbagai soalan tentang skandal yang telah menjadi berita utama bukan sahaja di dalam negara malah di peringkat antarabangsa.

Apabila berhadapan dengan keadaan seperti hari ini mana-mana kerajaan yang bermaruah akan memanggil pilihan raya untuk membuktikan mereka masih mendapat sokongan rakyat. Tetapi adakah pentadbiran Umno-Barisan Nasional sekarang adalah satu kerajaan yang bermaruah?

Tetapi pentadbiran Umno-Barisan Nasional telah sampai ke penghujung hayatnya. Tidak ada gunanya memberi talian hayat kepada mereka. Kepentingan negara dan rakyat mesti diberi perhatian utama.

Tuntutan PAS ini dengan jelas menunjukkan bahawa PAS mahu Perdana Menteri dan Umno-Barisan Nasional ditukar. Mereka yang mendakwa sebaliknya mungkin mempunyai hasrat dan niat yang hanya mereka ketahui.

DATUK ISKANDAR ABDUL SAMAD
Naib Presiden PAS
4 Mac 2016HARAKAHDAILY 4/3/2016

Share on Myspace