CN235: data penerbangan dimuat turun untuk dianalisis

BERNAMA | .

KUALA LUMPUR: Data daripada Perakam Data Penerbangan dan Perakam Data Suara pesawat CN235 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terhempas di Kuala Selangor, Jumaat lepas, telah dimuat turun selepas dihantar ke Bandung untuk dianalisis.
    
Panglima TUDM Jeneral Tan Sri Roslan Saad yang mengesahkan perkara itu berkata data yang dihantar ke Bandung pada Isnin lepas itu belum dianalisis.
    
"Saya difahamkan data berkenaan telahpun dimuat turun, namun belum lagi dianalisa...mula-mula ada sedikit masalah teknikal kerana peralatan itu dah retak, ada bahagian pun tak elok.
    
"Dua jurutera kami kini bersama dengan pengeluar peralatan asli di Bandung bagi membantu proses analisis," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penubuhan dan Penghantaran Tim Pemantau Antarabangsa-Mindanao 11 (TPA-M11) di sini, hari ini.
    
Roslan bagaimanapun berkata beliau tidak dapat memastikan tempoh masa yang akan diambil untuk proses analisis data itu.
    
"Kita juga akan menemu bual anak kapal yang terbabit dalam insiden ini bagi mengetahui apakah punca sebenar kejadian itu...operasi menyelamatkan sedang berjalan sekarang, kita dalam proses untuk mengangkut ekor pesawat," katanya.
    
Dalam kejadian 8.50 pagi itu, pesawat berkenaan yang membawa lapan anak kapal membuat pendaratan cemas setelah dikatakan mengalami kerosakan enjin di pesisir pantai berhampiran Batu 2, Kuala Selangor.
    
Kesemua anak kapal dapat diselamatkan dengan bantuan nelayan tempatan di kawasan itu.
    
Pada Isnin lepas, kotak hitam pesawat CN235 telah ditemui. - Bernama

Share on Myspace