Pulau Ketam berpotensi besar destinasi pelancongan baharu

JUHANI RAHMAN | .

KLANG: Sambutan Tahun Baharu Cina di Pulau Ketam meriah dengan kehadiran isteri Menteri Besar Selangor, Datin Seri Shamsidar Taharin dan Adun Selat Klang, Dr Halimah Ali.

Kira-kira 200 penduduk kampung dengan kebanyakannya berketurunan Tionghua hadir memeriahkan program hari ini yang diadakan di Balai Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKK).

Dr Halimah Ali dalam ucapannya berkata, sikap penduduk yang senantiasa menyokong dan meraikan setiap program anjuran Kerajaan Negeri dan Pusat Khidmat Masyarakat Dun Selat Klang patut dipuji dan diteruskan.

Katanya, sikap begitu penting dijadikan amalan penduduk memandangkan Pulau Ketam semakin dikenali oleh pelancong dalam dan luar sebagai potensi baharu destinasi pelancongan Selangor.

Beliau yang juga Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Dewan Muslimat PAS Pusat turut menggesa setiap pihak termasuk Ahli Parlimen dan Adun Selangor supaya membantu menjadikan Pulau Ketam sebagai destinasi pelancongan sekaligus membuka pintu rezeki baharu kepada penduduk.

"Bersama kita hari ini pun ada Ahli Parlimen Kapar, G Manivannan; Adun Pandamaran, Tan Pok Shyong. Mereka kena 'desak' supaya Kerajaan Persekutuan dan Negeri bantu bangunkan pelancongan di sini," katanya.

Ketibaan tetamu kehormat di pulau itu disambut dengan paluan gendang pelajar sekolah rendah dan menengah sebelum diberi penghormatan untuk membakar mercun.

Turut hadir, Adun Seri Serdang, Noor Hanim Ismail serta isteri-isteri wakil rakyat Selangor serta Ketua Kampung Pulau Ketam, Cha Keng Lee

Turut memberi kerjasama, Amal Nita dan Proace Malaysia.

Difahamkan, kebanyakan penduduk Pulau Ketam bekerja sebagai nelayan. Bagaimanapun, tekanan ekonomi yang melanda negara pada waktu ini sedikit sebanyak menjejaskan pendapatan mereka ditambah dengan masalah kawasan tangkapan ikan.

"Sebab itu kita mahu bantu penduduk sini majukan kampung ini dengan pelancongan sesuai dengan slogan 'Visit Klang 2017'.

"Melalui slogan itu, kita mahu Pulau Ketam dijadikan salah satu destinasi terpenting untuk dilawati pelancong dalam dan luar negara. Kalau kita bangunkan Pulau Ketam, boleh menyumbang pendapatan kepada Kerajaan Negeri sendiri,"ujarnya.

Sehubungan itu, Dr Halimah mahu penduduk bersama-sama menjaga kebersihan seluruh pulau itu dan memelihara khazanah alam yang terdapat di situ.

"Jaga kebersihan Pulau Ketam. Jaga segala khazanah yang ada. Jaga pokok-pokok yang ada, air laut dan saya dapat tahu ikan lumba-lumba juga semakin kelihatan.

"Beri kelainan kepada pelancong luar dan tempatan mendapatkan pengalaman yang unik dan berharga bila ke Pulau Ketam," katanya yang turut memuji penduduk kerana bersungguh-sungguh memelihara kebudayaan dan kesenian tempatan.

Secara berseloroh, beliau mengingatkan Ahli Majlis yang baharu dilantik, Mohd Prasad Hanif yang juga Ketua Penerangan PAS Selangor supaya senantiasa melawat pulau itu dan memberi cadangan penambahbaikan.

Sementara itu, Shamsidar yang juga Yang Dipertua (YDP) Pekawanis menyatakan penghargaan kepada penduduk atas komitmen dalam menjayakan program itu.

Katanya, Kerajaan Negeri tidak pernah meminggirkan kepentingan penduduk Pulau Ketam.

Sebaliknya, sejurus Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar baharu, Pulau Ketam merupakan kawasan yang menjadi antara agenda utama pembangunan negeri.

Program pada hari itu turut menawarkan perkhidmatan kesihatan percuma serta menziarahi penduduk yang mengalami keuzuran. – HARAKAHDAILY 4/3/2016

Share on Myspace