NFC: Mahkamah tolak saman Salleh terhadap Nurul Izzah

BERNAMA | .

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini menolak saman fitnah dikemukakan National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) dan pengerusi eksekutifnya Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail terhadap Nurul Izzah Anwar dan PKR berhubung dakwaan pembelian lapan unit hartanah di KL Eco City.
    
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Hue Siew Kheng dalam keputusannya menolak saman itu berkata kenyataan dibuat Nurul Izzah, selaku defendan tidak memfitnah Mohamad Salleh.
    
"Saya bersetuju dengan defendan bahawa kenyataan yang dibaca secara menyeluruh tidak bersifat memfitnah plaintif (Mohamad Salleh) kerana kenyataan media dibuat Nurul Izzah adalah atas kapasiti dan kedudukannya sebagai anggota Parlimen (MP) Lembah Pantai," katanya.
    
Hue berkata kenyataan itu ditujukan kepada Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil iaitu bekas MP Lembah Pantai yang juga isteri Mohamad Salleh dan seorang lelaki yang berfikiran waras akan menimbangkan artikel itu sebagai menggesa akauntabiliti di pihak Shahrizat berhubung kenyataan Mohd Rafizi Ramli.

Mahkamah memerintahkan plaintif membayar sejumlah RM80,000 kepada kedua-dua defendan.
    
Hakim membuat keputusan itu selepas mendengar keterangan daripada Mohamad Salleh dan Nurul Izzah.
    
Pada 24 Dis, 2013, Mohamad Salleh memfailkan saman terhadap Nurul Izzah dan setiausaha agung PKR ketika itu, Datuk Saifuddin Nasution atas dakwaan memfitnahnya dalam komen Nurul Izzah berhubung pendedahan oleh Mohd Rafizi, yang ketika itu pengarah strategi PKR, mendakwa Mohamad Salleh telah melakukan penyelewengan dana syarikat itu.
    
Saifuddin, selaku setiausaha agung PKR ketika itu, disaman kerana didakwa bertanggungjawab bagi kenyataan dibuat oleh Nurul Izzah atas kapasitinya sebagai wakil PKR.
    
Mohd Rafizi didakwa berkata plaintif telah membeli lapan unit hartanah di KL Eco City menggunakan dana NFCorp.  
    
Plaintif mendakwa Nurul Izzah membuat kenyataan memfitnah itu dalam siaran Malaysiakini TV pada 7 Mac, 2012.
    
Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mewakili plaintif manakala peguam Joshua Kevin mewakili defendan. - Bernama

Share on Myspace