Mat motor tidak semestinya mat rempit - peminat motor

KHATIJAH JISTOH DAN ANIS AMIRA | .

(Foto hiasan)

KUALA LUMPUR: Memiliki motosikal dan gemar mengubah suai kenderaan beroda dua itu tidak bererti seseorang itu adalah mat rempit atau samseng jalanan.

Namun, disebabkan tanggapan umum masyarakat yang sering 'disuap' dengan imej sedemikian, hampir kesemua memberi label yang sama kepada penunggang motosikal.

Hakikatnya, hanya sebilangan kecil penunggang motosikal adalah daripada golongan itu, selebihnya boleh dilabel sekadar 'Mat Motor', kata pengarah dan pelakon filem, Pekin Ibrahim, 34, yang juga menganggap dirinya sebagai golongan 'Mat Motor'.

Pekin yang telah mengarahkan filem Mat Moto, sebuah filem aksi permotoran berkata beliau kurang gemar digelar mat rempit kerana perkataan itu membawa maksud negatif dan sering dikaitkan dengan perlumbaan haram dan gejala sosial.

"Mereka yang digelar mat rempit ini juga selalunya 'keras kepala' terhadap undang-undang, berbeza mereka yang digelar mat motor yang selalunya lebih prihatin," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Namun, Pekin berkata, secara amnya tidak ada definisi tepat mengenai kedua-dua label ini, kerana ia hanyalah gelaran diberi media massa dan bukan perkataan direkodkan kamus.

Pekin berkata beliau sendiri sebelum ini pernah disalah anggap oleh seorang wanita sebagai mat rempit kerana menunggang motosikal berkuasa tinggi.

Sementara itu, seorang penjawat awam yang hanya mahu dikenali sebagai Zaidi, mengaku pernah terlibat di dalam aktiviti mat rempit.

Katanya, golongan mat rempit adalah mereka yang suka kebebasan, tunjuk lagak dan selalunya bergerak secara berkumpulan.

"Tidak ada mat rempit yang bergerak solo," katanya dan menambah, kebanyakan motor yang digunakan adalah jenis 'kapcai' atau motosikal kecil yang banyak diubah suai enjinnya supaya lebih berkuasa.

Zaidi berkata, ini berbeza dengan mereka yang digelar mat motor, yang selalunya lebih banyak melakukan pengubahsuaian dari segi kosmetik.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Nasrudin Subhi berkata mereka yang terlibat sebagai mat rempit adalah golongan yang berada di usia hujung remaja dan awal dewasa serta bujang.

"Darah muda, ada keinginan dan dia punya tahap keberanian yang tinggi. Bukanlah kategori terlampau muda atau pertengahan dewasa yang bila mereka matang sudah pasti akan memikirkan tentang masa depan mereka," kata Nasrudin kepada Bernama baru-baru ini.

Memandangkan usia mereka terlibat masih di peringkat remaja, Nasrudin mencadangkan supaya golongan ini diberikan kelas-kelas kemahiran sebagai satu daripada outlet untuk mengisi masa lapang.

"Ini sekali gus meningkatkan kemahiran dan membolehkan mereka menggunakan kemahiran tersebut untuk menjana pendapatan secara kecil-kecilan kerana mereka yang merempit ini selepas mencapai suatu tahap kematangan, mereka akan berhenti merempit," katanya.

Baru-baru ini Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mencadangkan untuk menyediakan trek perlumbaan motosikal di kawasan tertentu di ibu kota bagi memenuhi kehendak dan minat anak muda, yang dikenali sebagai Mat Motor.

Bagaimanapun, ada pihak yang tidak bersetuju dengan cadangan itu kerana mengaitkan pelumbaan itu dengan Mat Rempit. - Bernama

Share on Myspace