Dakwaan bunuh: Kes Zulkifli dipindah ke Mahkamah Tinggi

BERNAMA | .

KEMAMAN: Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan kes seorang peniaga yang didakwa membunuh dan mencederakan dua lelaki di kampung Labohan, Kerteh, dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Hakim Rofiah Mohamad membuat keputusan itu setelah Timbalan Pendakwa Raya Syazwani Zawawi memaklumkan bahawa kesemua dokumen telah lengkap dan pertuduhan terhadap Mohamad Zulkifli Ismail, 50, juga kekal tanpa sebarang pindaan.

Rofiah menetapkan 22 Mac untuk sebutan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu dan membenarkan kedua-dua kes dibicarakan bersama.

Pada 27 Dis tahun lepas, Mohamad Zulkifli didakwa membunuh Zulkefle Abdullah, 38, di kawasan rumah tidak bernombor, Kampung Labohan, Kerteh, di sini pada pukul 10.30 pagi, 7 Dis lalu.

Bapa tiga orang anak itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan bagi pertuduhan tersebut.

Sementara itu bagi pertuduhan kedua, Mohamad Zulkifli mengaku tidak bersalah menyebabkan cedera parah ke atas Faizul Awang, 31, dengan menggunakan sebilah parang di tempat dan tarikh yang sama.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat.

Mohamad Zulkifli diwakili peguam Ariff Azami Hussein dan Azizul Shariman Mat Yusoff. - Bernama

Share on Myspace