Maslahat: Dewan Ulamak PAS Selangor sokong Kelantan

HARAKAHDAILY | .

Baru-baru ini, Menteri Besar Kelantan, Menteri Besar Ustaz Datuk Ahmad Yakob telah mencadangkan kajian khusus untuk meminda Undang-Undang Kecil Taman Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) 1986.

Cadangan ini bertujuan untuk menangani masalah anak muda yang berkeliaran di kawasan taman khususnya pada waktu Maghrib.

Ini selaras dengan penubuhan Jabatan Pembangunan Islam (JPI) yang ditubuhkan di Majlis Perbandaran Kota Bharu sahaja dan akan diperluaskan ke seluruh PBT di Kelantan pada tahun ini.

Dewan Ulamak PAS Selangor menyokong penuh cadangan Menteri Besar ini dan sebarang usaha untuk membimbing masyarakat Islam kepada kebaikan termasuklah dengan cara menguatkuasakan undang-undang yang lebih kepada mendidik masyarakat.

Ini sesuai dengan matlamat perundangan Islam yang bukan bertujuan untuk mengongkong manusia, tetapi lebih untuk menjaga kemaslahatan kehidupan manusia itu sendiri.

Dewan Ulamak PAS Selangor juga mengucapkan syabas kepada Kerajaan Kelantan dalam meluaskan penubuhan Jabatan Pembangunan Islam (JPI) yang bukan setakat di Majlis Perbandaran Kota Bharu sahaja, tetapi di seluruh negeri Kelantan pada tahun ini.

Ia diharapkan sebagai langkah positif dalam ke arah melaksanakan undang-undang hudud di Negeri Kelantan.

Ustaz Rizuan Rahmat
Ketua Dewan Ulamak PAS Selangor - HARAKAHDAILY 6/3/2016

Share on Myspace