Dinamika politik: PAS pilih blok politik ketiga

ALANG IBN SHUKRIMUN | .

SEKIAN lama politik negara kita dikenali dengan hanya dua blok sahaja iaitu blok kerajaan dan blok pembangkang. Parti-parti di blok kerajaan akan sentiasa menyokong dan mempertahankan pihak pemerintah tidak kira dalam apa jua isu.

Parti-parti pembangkang pula akan sentiasa mencari salah kerajaan dan dijadikan isu untuk menaikkan kebencian rakyat. Terkadang dihalalkan fitnah dan pembohongan semata-mata untuk menyerang atau mempertahankan mana-mana pihak.

Trend politik dwi parti ini mula menimbulkan kebencian rakyat terhadap politik terutama dalam kalangan generasi baru. Mereka meluat melihat sikap ahli-ahli politik yang setiap hari bertelagah antara satu sama lain.

Satu blok menganggap blok lain sebagai musuh yang perlu diburukkan setiap hari. Sekiranya pihak lawan melakukan perkara positif, ia akan diperli dan dicari sisi-sisi negatif sehingga membutakan terus sifat positif yang ada.

Kesan kemeluatan itu, generasi baru tidak lagi berminat mengambil tahu tentang politik. Masyhurlah slogan 'politik itu kotor'. Walaupun sebahagian mereka juga peduli tentang nasib rakyat dan negara, tetapi mereka memilih untuk tidak berada dalam mana-mana dua blok yang dinyatakan.

Perjuangan generasi baru mula teralih kepada non partisan. Selain daripada bergantung kepada ketokohan individu, mereka lebih cenderung kepada NGO dan bebas politik. Setiap hari, bilangan NGO semakin bertambah.

Kebanyakannya ditubuhkan bagi memperjuangkan idealisme tersendiri, demi mencorakkan masa depan masyarakat. NGO ini tidak mengambil kira sesiapapun yang terlibat, asalkan pihak terbabit mampu membantu mencapai objektif mereka, mereka akan bekerjasama. Mereka bebas masuk ke agensi-agensi kerajaan, dan mereka tidak kisah bergandingan dengan pembangkang.

Melalui Budaya Politik Matang dan Sejahtera yang dibawa kepimpinan baru PAS, PAS ingin meneroka dimensi baru dalam dinamika demokrasi negara.

PAS tidak mahu lagi bergelumang dengan tradisi lama politik tanah air, sama ada berwatak pembangkang yang membangkang semua perkara atau berupa kerajaan yang menyokong membuta tuli. Sudah tiba masanya PAS bersifat lebih terbuka dan mempelopori setiap sektor masyarakat dengan lebih profesional.

PAS ingin menggerakkan suara pihak ketiga yang bersifat lebih membumi dan lebih dekat di hati rakyat. Pihak ketiga ini ialah tokoh-tokoh non partisan dan NGO bebas. PAS mengambil peluang bekerjasama dalam setiap perkara yang baik untuk rakyat tidak kira ia dari kerajaan mahupun pembangkang.

Selain itu, PAS juga mahu memberi sinar kepada bekas penggiat parti pemerintah yang kini sudah muak dengan perangai pemimpin mereka, tetapi masih rigid dengan pembangkang yang keras. PAS juga turut menyediakan alternatif kepada bekas penggiat parti pembangkang lain yang merasa terpedaya dengan pemimpin mereka selama ini.

Blok politik ketiga yang sedang diusahakan PAS adalah himpunan kelompok baru politik tanah air yang tidak mewakili pihak kerajaan mahupun pembangkang mengikut definisi yang kita kenali selama ini.

Walaupun PAS tetap bukan kerajaan, tapi PAS tidak memusuhi setiap yang datang dari kerajaan. Ada perkara baik yang PAS iktiraf daripada kerajaan, dan PAS akan vokal menentang kerajaan dalam sebarang perkara yang dilihat salah. PAS juga tidak akan menyokong semua dari pembangkang, melainkan jika ia dinilai baik oleh PAS.

Ketahuilah bahawa acuan politik ini adalah selari dengan anjuran Islam yang mengharamkan hukuman dijatuhkan mengikut kumpulan semata-mata tetapi perlu melihat kepada kebenaran. Allah SWT berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ ۖ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَىٰ أَلَّا تَعْدِلُوا ۚ اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ ۖ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ

Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.
[Al-Maidah:8]

Perjuangan mempertahankan kumpulan masing-masing tanpa mengambil kira siapa benar siapa salah adalah saki baki ajaran jahiliah yang dikenali sebagai asabiyyah. Apatah lagi sekiranya etika kumpulan tersebut perlu menggadaikan prinsip Islam demi matlamat bersama.

Perjuangan Islam yang dibawa sejak zaman baginda SAW adalah mengharamkan dan menghapuskan elemen-elemen asabiyyah yang sangat menebal di dalam diri masyarakat arab sebelum ini. Sabda Rasulullah SAW:

ليس منّا من دعا إلى عصبية، أو من قاتل من أجل عصبية، أو من مات من أجل عصبية

Bukan dari kalangan kita, mereka-mereka yang menyeru kepada asabiyyah, atau yang berperang atas dasar asabiyyah, atau mati di atas jalan asabiyyah.
[HR Abu Daud]

PAS tidak pernah lari dasar dan prinsip perjuangan asalnya. Kerana dasar PAS Islam, manakala prinsipnya adalah syariat daripada al-Quran, Hadis, Ijma dan Qiyas. Namun PAS juga bukanlah parti yang jumud dan kuno.

PAS sentiasa memperbaharui pendekatan politik, tarbiyah dan dakwah selari dengan tuntutan semasa, asalkan tidak terkeluar daripada landasan agama. Inilah jua ciri-ciri Islam itu sendiri; teguh pada pegangan dan fleksibel pada amalan.

PAS percaya kemenangan Islam yang dijanjikan oleh Allah SWT sudah semakin dekat. Jika diibaratkan PAS sebagai sebuah bahtera dan kemenangan itu adalah pelabuhan yang dituju, maka bahtera ini tidak boleh lagi memecut sebagaimana ketika masih jauh dengan pelabuhan.

Sudah tiba masanya bahtera ini diperlahankan, dan mengubah posisi kepada kedudukan yang sepatutnya agar berjaya melabuhkan sauh dengan selamat dan sukses di tempat yang dituju.

Insya-Allah PAS akan terus istiqamah dengan perjuangannya selagi kelasi dan penumpangnya memberi kepercayaan kepada nakhoda yang berada di tempat paling tinggi. Kedudukannya itu membuatkan beliau nampak apa yang orang di bawah tidak nampak. Dia lebih tahu bagaimana mahu memposisikan bahtera ini pada saat-saat kemuncak pelayaran sebegini.

Pendekatan terbaru ini semestinya tidak disenangi pihak lain yang memiliki matlamat politik tersendiri. Kita boleh lihat sekarang, PAS semakin mendapat perhatian daripada kawan mahupun lawan. Walaupun isu yang sedang ditimbulkan adalah berkenaan PM dan bekas PM, tetapi media dan politikus lebih berminat mengambil tahu perkembangan dan tindak tanduk PAS hingga menenggelamkan isi-isi deklarasi yang dikemukakan.

Tidak perlulah hairan kalau semakin hari semakin hebat Presiden PAS diserang, kerana mereka tahu kemaraan PAS perlu disekat jika mereka mahu kekal relevan di persada politik.

Kepada ahli PAS, saat-saat kemuncak perjuangan ini adalah amat getir sekali. Tapisan tuhan akan terus berlaku dan ujiannya akan bertambah sukar. Ini memerlukan ahli untuk memperkukuhkan jatidiri sebagai anggota jemaah. Agenda tarbiah harakiah di setiap peringkat perlu diperkasakan. Kefahaman tentang perjuangan Islam perlu dihadam sebaiknya, bukan sekadar semangat semata-mata.

Hanya mereka yang benar-benar layak sahaja diizinkan oleh Allah SWT untuk menerima kemenangan yang suci ini. – HARAKAHDAILY 7/3/2016

Share on Myspace