Nasib warga emas OKU yang tidak diberi bantuan

JOFRI JARAIEE | .

MIRI: Masalah setinggan dan sukar memiliki tanah sendiri di Bandaraya Miri semakin gawat disebabkan harga rumah yang terlalu mahal dan tidak mampu dimiliki orang yang pendapatan rendah dan sederhana.
 
Seorang penduduk yang sudah lebih 40 tahun menetap di Jalan Pujut @ ‘Pujut Rail’ Tanjung Batu mengadu kepada pihak PAS kerana tidak dapat bantuan kebajikan daripada pihak agensi yang berkaitan.
 
Going Bin Derman yang berumur 70 mempunyai 6 orang anak terdiri dari 3 orang anak perempuan dan 3 orang anak lelaki. Isteri beliau bekerja sebagai pembantu tukang masak di Pasar Malam Seberkas. Beliau sendiri tidak bekerja disebabkan beliau telah hilang penglihatan akibat kemalangan.
 
Going menerima nasib malang apabila terkena paku pada salah satu matanya ketika pulang dari kerja di rumahnya pada tahun 2010. Beliau telah terlantar selama lebih sebulan di Hospital Umum Miri dan telah diberikan rawatan percuma kerana beliau telah disahkan sebagai OKU (orang kurang upaya)  akibat kemalangan itu.
 
Beliau telah diberi kad OKU oleh pihak badan kebajikan tetapi sampai sekarang beliau tidak mendapat sebarang bantuan bulanan daripada badan kebajikan. Alasan pihak badan kebajikan ialah anak beliau mampu menanggung beliau sekeluarga.
 
Anak perempuan sulung beliau sudah berumahtangga dan mempuyai seorang anak. Anak lelaki kedua beliau pula bekerja sebagai askar di Semananjung. Tiga orang anak beliau masih lagi belajar di SMK Baru dan juga di SK Pujut.
 
Menurut isteri beliau anak mereka yang masih belajar itupun tidak mendapat bantuan persekolahan seperti anak murid yang lain. Ketiga-tiga anak beliau pergi ke sekolah menggunakan van sekolah dan bayaran bulanan sebanyak RM135.00.
 
Menurut beliau lagi hanya sekali saja pihak Baitulmal Sarawak memberi sumbangan kepada keluarga beliau tetapi selepas itu tiada lagi sumbangan yang diterima oleh keluarga beliau.
 
Going yang tidak dapat bekerja hanya bergantung nasib pada isteri dan anak beliau, ia sudah tentu tidak mencukupi untuk menanggung pembelanjaan harian mereka sekeluarga.
 
Mereka amat mengharap agar masalah yang mereka hadapi selama ini mendapat perhatian daripada pihak berkuasa dan pihak yang berkaitan. Keadaan rumah mereka juga usang dan perlu dibaik pulih sebab mereka tidak mampu untuk membaiki rumah mereka.
 
Kita mengesa pihak badan kebajikan serta pihak Baitulmal Sarawak dapat memberi bantuan bulanan kepada Going Derman sebab beliau selayaknya menerima bantuan bulanan disebabkan beliau tidak dapat bekerja dan boleh dikategori sebagai golongan miskin di bandar.
 
Pihak yang berkenaan boleh datang sendiri melihat keadaan serta nasib yang menimpa Going setelah beliau tidak mampu untuk menanggung keluarga beliau. Kerjasama dengan pihak berkaitan untuk mengatasi masalah Going Derman sekeluarga amat dihargai. – HARAKAHDAILY 7/3/2016

Share on Myspace