Patuh syariah Hotel De Palma diterima baik bukan Islam

FADZILLAH AISHAH ISMAIL | .

KUALA LUMPUR: Keutuhan konsep patuh syariah yang diperkenalkan Datuk Mohd Ilyas Zainol Abidin di rangkaian Hotel De Palma hampir sembilan tahun lalu berjaya mengubah pandangan skeptikal sesetengah pihak kononnya ia sukar diterima masyarakat bukan Islam khususnya pelancong luar negara.

Ironinya, Pengurus Besar Kumpulan Hotel De Palma itu berkata konsep berkenaan lebih diterima baik kebanyakan pelancong bukan Islam yang menginap di hotel itu berbanding masyarakat tempatan beragama Islam.

"Pelancong asing ini mereka datang ke sesuatu negara mereka nak tengok apa kelainan di tempat itu. Mereka bukan nak tengok kaunter minuman keras...jika dia nak tengok tidak payah pergi ke mana-mana...di negara asal mereka pun ada tetapi mereka nak tengok uniknya ia tiada di tempat itu...itu kelainannya.

"Tetapi masyarakat kita pula, fikirkan kenapa kalau buat konsep mesra Islam, kalau tiada ruang itu akan timbulkan keraguan pada pelancong asing bukan Islam nak datang. Tidak semestinya...kerana mereka lebih menghargai dan menghormati budaya setempat," katanya dalam satu temu bual bersama Bernama di sini baru-baru ini.

Mohd Ilyas berkata selepas memutuskan untuk menukar konsep hotel itu daripada konvensional kepada patuh syariah, pihaknya masih menerima jumlah pelancong bukan Islam yang banyak seperti dari China, Korea, Jepun dan negara Barat.

"Daripada maklum balas yang saya terima, pelancong asing yakin dengan hotel Islam yang menyediakan makanan halal dan halal ada hubung kait dengan elemen kesihatan iaitu dari segi kebersihan...jadi mereka lebih yakin. Kadang-kadang orang Islam kita yang tidak berapa yakin boleh ke tidak boleh.

"Tidak perlu risau kerana Allah janjikan sesuatu yang lebih baik jika niat kita untuk buat kebaikan dan janganlah kita takut dan khuatir kerana rezeki itu semua di tangan Allah. Allah yang beri rezeki...kalau tiada orang datang ke sini pun Allah akan gantikan rezeki itu di mana-mana dengan cara mana sekalipun," katanya.

Beliau berkata konsep patuh syariah juga sudah mulai diterima pengusaha pelancongan secara global atas kesedaran bahawa keperluan 1.8 bilion pelancong Islam berbeza dengan pelancong bukan Islam di mana mereka memerlukan hotel yang menyediakan kemudahan untuk bersolat dan makanan halal.

Beliau berkata hotel-hotel yang tidak menyediakan kemudahan asas berkonsep mesra Islam akan menyukarkan pelancong Islam yang sudah pasti berasa 'tawar hati' untuk mengunjungi semula hotel itu pada masa akan datang.

"Akhirnya negara itu tidak akan dapat terima banyak pelancong Islam. Jika sesuatu tempat beri kemudahan asas ini pada pelancong, jadi lebih mudah untuk mereka kunjungi tempat itu khususnya di Malaysia.

"Walaupun pekerja di hotel bukan semuanya Islam tetapi mereka harus diberi maklumat mengenai di mana masjid, tempat riadah atau muzium orang Islam boleh kunjungi...kadang-kadang kita pun tidak tahu, jadi ini salah satu cara nak menaikkan produk pelancongan Islam," katanya.

Memberi contoh konsep patuh syariah yang diamalkan di Hotel De Palma Ampang, Mohd Ilyas berkata hotel itu adalah satu-satunya di Malaysia yang diberi keizinan untuk mengadakan solat Jumaat berikutan suraunya mampu menampung kariah yang ramai.

Selain Ampang, Hotel De Palma, dimiliki sepenuhnya oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang telah beroperasi hampir 22 tahun, serta mempunyai dua rangkaian lain iaitu di Shah Alam dan Kuala Selangor.

"Di Ampang, Alhamdulillah, kariah solat Jumaat sudah mencecah 2,000 orang dan kita juga sentiasa adakan majlis ilmu sekurang-kurangnya seminggu sekali atau dua kali seminggu untuk orang awam sementara dua kali sebulan khas untuk pekerja kita. Selain itu, di sini kita turut adakan Qiamullail dua kali sebulan dan kita ada imam yang akan memimpin setiap solat lima waktu.

"Apabila masuk waktu solat, azan di sini akan didengarkan di seluruh bangunan dan sekitar kawasan ini juga boleh dengar azan. Konsep seperti ini boleh dikatakan lebih mesra kepada masyarakat Islam...mereka boleh tinggal di sini tanpa meninggalkan ibadah dan kalau bekerja di sini dia boleh bekerja sambil beribadah," katanya sambil menambah bahawa ada kira-kira 290 pekerja di tiga rangkaian Hotel De Palma.

Menurut Mohd Ilyas, hotel ini turut menyediakan 29 bilik di aras enam premis itu khusus untuk tetamu beragama Islam dengan bacaan Al-Quran diperdengarkan sepanjang masa di koridor aras berkenaan yang turut dihiasi ayat Al-Quran dan setiap bilik dilengkapi sejadah, telekung dan senaskhah Al-Quran.

Tambah beliau, kadar bilik penginapan di aras khas itu juga lebih mahal berbanding kadar bilik penginapan biasa.

"Bila orang tanya kenapa mahal saya jawab mengapa Islam itu perlu murah? kenapa Islam harus rendah? Angkatlah dan tinggikanlah martabat Islam. Kalau anda boleh bayar bilik eksekutif lain yang mahal kenapa tidak boleh anda bayar yang ini," katanya.

Enggan mendedahkan keuntungan diperoleh rangkaian hotel berkenaan selepas melaksanakan konsep patuh syariah, Mohd Ilyas menegaskan proses pengubahsuaian yang sedang dilakukan di Hotel De Palma Ampang pada ketika ini jelas menunjukkan ada perkembangan yang positif.

"Kita nak bawa satu pembaharuan...kita tidak mahu ada anggapan bahawa hotel Islam itu lemah, jadi kita nak tingkatkan hotel ini dengan ciri-ciri moden yang boleh dibanggakan di peringkat antarabangsa. Insya-Allah, akhir tahun ini proses pengubahsuaian akan siap," katanya yang telah menguruskan hotel berkenaan hampir 22 tahun.

Mohd Ilyas yang juga Pengarah Urusan Biztel Sdn Bhd (Biztel) mengalu-alukan lebih banyak hotel berkonsep patuh syariah dibina dan beliau bersedia membantu mana-mana pemilik hotel di Malaysia dan luar negara yang bercadang membina hotel dengan konsep berkenaan.

Katanya perancangan sangat penting untuk membina hotel berkonsep patuh syariah seperti pembinaan kolam renang berasingan untuk lelaki dan wanita, tempat makan berasingan untuk tetamu yang berkeluarga dan tidak berkeluarga serta surau yang selesa.

Mengakhiri temu bual ini, Mohd Ilyas berharap semua pihak khususnya kerajaan negeri Selangor terus memberi sokongan dan kepercayaan kepada Hotel De Palma untuk kekal dengan konsep patuh syariah yang jelas memberi banyak manfaat dan keberkatan kepada operasinya.

"Saya doakan moga Allah beri hidayah kepada mereka yang memimpin negeri Selangor supaya terus menjayakan hotel di Selangor khususnya De Palma untuk terus dengan konsep ini (patuh syariah) dan moga Allah reda serta beri kemudahan kepada kita," katanya. - Bernama

Share on Myspace