Apa selepas Deklarasi Rakyat?

KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN | .

PAS melalui gerak langkah politik terbarunya, Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) bersedia menerima sesiapa sahaja termasuklah dari Umno atau yang keluar dari Umno untuk bekerjasama. PAS konsisten dengan dasar yang meletakkan Islam di tempat yang tertinggi.

Oleh yang demikian, PAS tidak menolak 4 tuntutan dalam deklarasi rakyat kerana itu memang telah lama dilaungkan oleh rakyat dan PAS.

Walau bagaimanapun, PAS melihat deklarasi itu terlalu kecil berbanding harapan rakyat, kerana beberapa perkara lain yang sepatutnya dimasukkan tidak dimasukkan.

Fokus deklarasi sepatutnya adalah menuntut campur tangan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen bagi memberikan laluan kepada pilihan raya dibuat lebih awal.

Hanya ini jalan terbaik bagi menukar pemimpin dalam kerajaan sedia ada. Biar rakyat menjadi hakim dalam menentukan masa depan kepimpinan negara yang baru.

Tuntutan penyingkiran Najib sebenarnya boleh dibuat melalui undian Parlimen sahaja, tetapi untuk melaksanakan penolakkan terhadap mereka yang menyokong Najib, itu perlu melalui proses pilihan raya.

Jika hanya menukar Najib di Parlimen, dan menaikkan pemimpin lain dari parti yang sama ianya tidak akan mengubah apa-apa, malah mungkin lebih teruk sebagaimana menukar Pak Lah kepada Najib.

PAS juga jelas bahawa menukar Najib kepada pemimpin lain sebelum pilihan raya diadakan akan memanjangkan usia Umno BN sama seperti ketika Umno tukar Presiden dari Mahathir kepada Pak Lah, dan Pak Lah kepada Najib.

Umno tetap memimpin BN membina kerajaan walaupun 51% undi popular pada Pilihan raya Umum 2013 yang lalu memihak kepada pembangkang.

Strategi seperti ini sepatutnya sudah tidak boleh dipakai, kerana PAS yakin rakyat kini lebih matang dan berani untuk melakukan perubahan.

Hanya dengan menewaskan Umno BN secara total dalam pilihan raya barulah akan dilihat perbezaan dalam corak kepimpinan negara.

Dan pastinya parti baru yang memerintah nanti akan lebih berhati-hati dalam memastikan harapan rakyat ditunaikan kerana mereka melihat bagaimana rakyat boleh menukar pemimpin melalui amalan demokrasi yang adil.

Parti yang memerintah pasti lebih berhati-hati demi mengekalkan kuasa. Ini berbeza dengan keadaan sekarang kerana lebih separuh abad Umno BN memerintah tanpa ditukar ganti dan mereka merasa terlalu selesa dengan hanya menukar pucuk pimpinan untuk menarik semula sokongan rakyat.

Soalnya, apa selepas deklarasi rakyat? Adakah Mahathir sanggup bersama Pembangkang untuk menukar Kerajaan kepada parti selain Umno BN atau hanya ingin menukar Najib dan penyokongnya kepada orang-orang Mahathir yang lain dalam Umno?

Segalanya perlu dibincang secara terperinci dan konsensus bersama perlu diterjemahkan dalam tindakan susulan pasca deklarasi. - HARAKAHDAILY 7/3/2016
 
Penulis ialah Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Share on Myspace