Proaktif tangani kegawatan ekonomi - Sultan

SALMAH MAT HUSAIN | .

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan disaran mengambil langkah proaktif sebagai usaha menangani kegawatan ekonomi dengan mengamal langkah-langkah penjimatan.

Sultan Muhammad V bertitah perkara ini perlu dijalankan memandangkan tahun lepas menyaksikan kelesuan ekonomi global dengan kadar pertumbuhan 3.1 peratus.

“Pertumbuhan yang perlahan dijangkakan berterusan dua atau tiga tahun akan datang sebagaimana diunjur International Monetary Fund iaitu 3.4 peratus tahun ini hingga 2017.

“Tiga faktor utama penyebab keadaan ini ialah pengucupan ekonomi China, kejatuhan harga minyak dan komoditi lain, di samping dasar ketat kewangan Amerika,” titah baginda ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Dun Kelantan hari ini.

Sebelum itu baginda melakukan pemeriksaan perbarisan kehormat di tingkat atas Kompleks Kota Darulnaim. Turut berangkat Tengku Mahkota Kelantan.

Menyambut keberangkatan baginda Speaker Dun Kelantan, Datuk Abdullah Yakob, Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob dan timbalannya, Datuk Mohd Amar Abdullah.

Titah baginda kerajaan negeri wajar berbelanja berdasarkan keutamaan sebagaimana yang diamalkan sebelum ini.

Baginda bertitah, kegawatan ekonomi dunia lebih terkesan bagi negara pengeluar minyak dan negara sedang membangun.

Ujar baginda, Malaysia sebagai sebuah negara pengeluar minyak sudah tentu akan terkesan sekiranya harga minyak dan komoditi terus jatuh.

“Kejatuhan nilai ringgit berbanding mata wang utama dunia menyebabkan berlakunya inflasi serta kenaikan harga barangan keperluan harian,” titah baginda.

Oleh itu sebagai persediaan menghadapi fasa kemelesetan, baginda menyarankan kerajaan negeri mengambil langkah proaktif yang tidak memberi impak negatif kepada rakyat. – HARAKAHDAILY 7/3/2016

Share on Myspace