Deklarasi Rakyat bukan muktamad - Presiden PAS

KHAIRUL AZLAM MOHAMAD | .

KUALA TERENGGANU: PAS tetap dengan pendirian mahukan perubahan yang menyeluruh melalui proses demokrasi serta menganggap Deklarasi Rakyat bukan satu keputusan muktamad.

Justeru, kata Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang kehadiran dua wakil pimpinan PAS pada majlis deklarasi itu sebagai pemerhati.

Ini kerana, kata beliau, dalam deklarasi rakyat tersebut ada perkara-perkara yang dipersetujui oleh PAS, tidak bersetuju serta terdapat perkara yang perlu ditambah.

“Kehadiran Datuk Mustafa Ali ialah sebagai pemerhati untuk hadir. Kita hadir dua orang,Datuk Mustafa Ali dan Yang Berhormat Dr Mohd KhairuddinAman Razali.

“Datuk Mustafa tandatangan, Dr Khairuddin tidak tandatangan. Dalam deklarasi itu ada perkara yang kita (PAS) setuju perubahan, ada yang kita tidak setuju pun ada. Perkara yang perlu ditambah pun ada.

“Itu (deklarasi) tidak boleh menjadi satu keputusan yang muktamad,” tegasnya yang juga Adun Ru Rendang kepada media selepas selesai Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (Dun) ke-13 oleh Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin, di sini hari ini.

Ketika menjawab soalan media apakah yang dimaksudkan bahawa PAS tidak mahu ‘dikualikan’ di sebalik deklarasi Tun M itu, beliau menjelaskan PAS mempunyai pendirian parti sendiri yang tidak terikat dengan mana-mana pihak serta hadir ke majlis deklarasi itu bagi melihat sendiri perkembangan semasa.

“Kita tidak ‘dikualikan’ oleh semua, ‘digoreng’ oleh semua. Kita ada pendirian kita sendiri. Dengan sebab itu, kita tidak boleh memisahkan diri dengan perkembangan dan kita perlu hadir dan lihat. Dalam masa yang sama kita perlu membuat pertimbangan dalam parti kita sendiri.

“Pada dasarnya ada yang kita tolak, ada yang kita terima. Contohnya, mahu perubahan dan pada kita perubahan itu mestilah melalui proses demokrasi.

“Tunggu pilihan rayalah, tunggu pilihan raya akan datang. Adapun melalui undi kepercayaan di parlimen. Dan kita minoriti di parlimen bukan majoriti, bergantung kepada orang Umno sendiri. Dan oleh kerana Umno adalah tulang belakang kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) yang majoriti, terpulang kepada mereka untuk mereka buat undi tidak percaya.

“Terpulang kepada mereka sendiri. Adapun kita tunggu dan lihat. Apa yang penting kita mahu supaya proses perubahan itu mestilah positif  kepada negara dan rakyat,” jelasnya.

Ahli Parlimen Marang itu menegaskan perubahan yang hendak dilakukan mesti melalui proses demokrasi dan mengikut perlembagaan.

“Memang kita mahu perubahan tetapi caranya mestilah melalui proses demokrasi yang betul. Di antaranya pilihan raya lima tahun sekali menurut Perlembagaan.

“Saya mahu supaya Perdana Menteri kalau hendak tukar melalui pilihan rayalah atau pun melalui undi kepercayaan di Parlimen. Di Parlimen, Umno 88 kerusi, PBB (10) kerusi, jadi 98 (kerusi) orang Melayu dan baki lagi bukan Islam.

“PAS sekarang ini tinggal 14 kerusi, boleh buat apa dengan 14 kerusi. Jika mereka (Umno) sendiri tidak buat, itu hal rumah tangga Umno. Mereka yang punya kuasa pemerintahan, itu rumah tangga mereka. Adapun kita (PAS) tetap tunggu melalui proses demokrasi,” ujarnya. - HARAKAHDAILY 7/3/2016

Share on Myspace